SERDANG, 4 September 2026 – Jabatan Perkhidmatan Veterinar (DVS) hari ini melancarkan lima Buku Panduan Penternakan Unggas Jilid Terkini (Edisi 2025) sempena Pameran Pertanian, Hortikultur dan Agropelancongan Malaysia (MAHA) 2026 di MAEPS, Serdang.
Majlis peluncuran lima buku panduan yang merangkumi ternakan Ayam Kampung, Ayam Pedaging, Ayam Penelur, Itik dan Puyuh itu telah disempurnakan oleh Timbalan Ketua Setiausaha (Pembangunan) Kementerian Pertanian dan Keterjaminan Makanan (KPKM), Dato’ Luqman Ahmad.
Penerbitan buku berkenaan menyediakan rujukan teknikal dan analisis ekonomi komprehensif merangkumi pengurusan reban, pemakanan, biosekuriti, kawalan penyakit, serta penilaian kewangan seperti Nilai Kini Bersih (NPV) dan Kadar Pulangan Dalaman (IRR) bagi memperkasakan pengurusan ladang secara sistematik.
Langkah ini dilaksanakan selaras dengan landasan Dasar Keterjaminan Makanan Negara 2030 yang menyasarkan Kadar Sara Diri (SSR) daging ayam mencapai 140 peratus menjelang 2030, berbanding pencapaian SSR sebanyak 93.8 peratus pada tahun 2024. Bagi menyokong fokus pemodenan ekosistem penternakan di bawah MAHA 2026, DVS turut menggalakkan penternak memperluas penggunaan Sistem Reban Tertutup (Closed House) dan teknologi Internet of Things (IoT) untuk pemantauan persekitaran reban. Kesemua buku panduan ini boleh diakses secara digital menerusi imbasan kod QR dan Portal Rasmi DVS.
Akses Malaysia merupakan satu saluran pengetahuan dan informasi yang disediakan bagi membolehkan pembaca mendapatkankan info-info terkini dalam dan luar negara.


































