PUTRAJAYA, 23 Oktober 2026 – Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan (KPKT) menggalakkan pembangunan lebih banyak rumah mampu milik berhampiran kemudahan pengangkutan awam dan pusat pekerjaan bagi memudahkan mobiliti harian rakyat serta meningkatkan kualiti hidup.
Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan, Nga Kor Ming, berkata pembangunan perumahan perlu dirancang secara strategik bagi memastikan rakyat menikmati akses lebih baik kepada pekerjaan, kemudahan asas dan perkhidmatan komuniti.
“Di bawah kerangka Malaysia MADANI, rumah bukan sekadar hartanah, sebaliknya merupakan keperluan asas yang menjadi tunjang kesejahteraan rakyat. Justeru, pembangunan perumahan perlu berteraskan keperluan rakyat dengan mengambil kira akses kepada pengangkutan awam, peluang pekerjaan, kawasan hijau serta kemudahan komuniti yang selamat dan kondusif,” kata beliau.
Nga Kor Ming, yang juga Presiden Perhimpunan UN-Habitat, menegaskan bahawa Kerajaan MADANI menyasarkan penyediaan sejuta unit rumah mampu milik bagi tempoh 2026 hingga 2035, dengan sasaran 500,000 unit menjelang tahun 2030.
“Usaha memperluas akses kepada pemilikan rumah turut disokong melalui pelbagai inisiatif kerajaan, termasuk insentif berkaitan duti setem, Skim Jaminan Kredit Perumahan (SJKP) dan pendekatan sewa untuk dimiliki (Rent-to-Own). Inisiatif ini bertujuan membantu pembeli rumah pertama, khususnya golongan bekerja sendiri dan pekerja gig yang mungkin berdepan cabaran dari segi akses kepada pembiayaan serta penyediaan wang pendahuluan,” kata beliau lagi.
Beliau menyampaikan ucaptama berkenaan sempena Majlis Sambutan Hari Habitat Sedunia Peringkat Kebangsaan 2026 yang berlangsung bersempena Majlis Makan Malam Gala UN-Habitat di Putrajaya yang turut dihadiri wakil diplomatik dari 28 negara.
Dalam majlis bertemakan “Bandar Masa Hadapan yang Ingin Saya Diami” itu, Malaysia turut menekankan komitmen terhadap IPOH Accord bagi pembangunan cekap tenaga serta penggabungan reka bentuk tradisional dengan teknologi moden.
“Yang lama dikelek, yang baharu didukung. Membina bandar masa hadapan tidak bermakna kita mengetepikan warisan dan sejarah. Sebaliknya, kebijaksanaan reka bentuk tradisional boleh digabungkan dengan teknologi moden untuk menghasilkan kediaman yang lebih selesa dan berdaya tahan terhadap cuaca panas serta risiko banjir,” kata beliau lagi.
Nga Kor Ming turut menyampaikan Anugerah Skrol Kehormat Malaysia 2026 dan Anugerah Projek Rintis Bandar Masa Hadapan MUF 2026 selain menyeru 156 pihak berkuasa tempatan (PBT) memperkukuh penglibatan penduduk dalam perancangan bandar.
Sebuah ruang peribadi untuk merakam idea, berkongsi pengalaman dan mengabadikan hal-hal yang mencuri perhatian. Dikenali dengan nama pena Aidil Abdullah



































