PUTRAJAYA, 28 Oktober 2026 – Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan (KPKT) mencatatkan pengiktirafan buat 88 Pihak Berkuasa Tempatan (PBT) di seluruh negara di bawah Penarafan Bandar Pintar Malaysia sejak 2023, di samping lapan kawasan perbandaran swasta yang meraih penarafan Smart Township bagi tahun 2026.
Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan, Nga Kor Ming, mengesahkan pencapaian berkenaan selepas mempengerusikan Mesyuarat Majlis Bandar Pintar Negara (MBPN) Tahun 2026 kelmarin.
Sementara itu, bagi tahun 2026 sahaja, sebanyak 28 PBT diperakukan menerima pengiktirafan baharu mengikut piawaian Malaysia Standard (MS) ISO 37122:2019 merangkumi satu PBT di Tahap 3 (Leading Smart City), sembilan PBT di Tahap 2 (Developing Smart City), serta 18 PBT di Tahap 1 (Smart City Early Adopter).
Nga Kor Ming berkata penarafan bandar pintar merupakan instrumen penting bagi meningkatkan keupayaan PBT dan tadbir urus menerusi penerapan teknologi dalam perkhidmatan awam.
“Bandar pintar bukan sekadar tentang penggunaan teknologi, tetapi bagaimana teknologi dapat dimanfaatkan untuk memudahkan urusan rakyat, meningkatkan kecekapan perkhidmatan dan mewujudkan persekitaran bandar yang lebih selamat, mampan serta selesa untuk didiami,” katanya.
Bagi penarafan Smart Township sektor swasta yang diperkenalkan sejak 2025, sebanyak lapan daripada 12 permohonan pemaju berjaya memenuhi kriteria bagi tahun 2026 yang menyaksikan satu kawasan memperoleh penarafan Platinum, empat Gold dan tiga Silver.
Susulan itu, majlis penyampaian anugerah kepada PBT yang berjaya akan disempurnakan oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim, pada 4 November 2026 sempena Sambutan Hari Perancang Bandar Sedunia Tahun 2026 di Auditorium Dewan Sivik, Majlis Bandaraya Petaling Jaya (MBPJ).
Agenda Bandar Pintar Malaysia kini turut diangkat sebagai Agenda Reformasi Perkhidmatan Awam (ARPA) Nasional selaras dengan RMKe-13 dan aspirasi Malaysia MADANI yang mensasarkan 115 PBT mencapai sekurang-kurangnya Tahap 1 menjelang 2030, seterusnya menuju status Negara Pintar 2040.
Sebuah ruang peribadi untuk merakam idea, berkongsi pengalaman dan mengabadikan hal-hal yang mencuri perhatian. Dikenali dengan nama pena Aidil Abdullah



































