PUTRAJAYA, 9 September 2026 – Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan (KPKT) memperluas usaha membudayakan amalan kebersihan menerusi kerjasama strategik bersama Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) menggerakkan 10,000 sekolah di seluruh negara sempena penganjuran Hari Cuci Malaysia (HCM) 2026.
Menerusi kerjasama ini, penglibatan murid dalam aktiviti pembersihan awam tersebut diiktiraf di bawah Pentaksiran Aktiviti Jasmani, Sukan dan Kokurikulum (PAJSK) bagi menggalakkan penyertaan aktif generasi muda dalam pemuliharaan alam sekitar.
Penganjuran HCM 2026 menyasarkan penyertaan serentak 200,000 peserta di seluruh negara serta sasaran pencapaian dua rekod baharu Malaysia Book of Records (MBOR) menerusi penyertaan serentak terbesar dan pengumpulan 28,000 kilogram barangan kitar semula.
Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan, Nga Kor Ming, merasmikan Majlis Pra-Pelancaran HCM 2026 di Pasar Tani Presint 4, Putrajaya, dengan menegaskan bahawa amalan kebersihan merupakan cerminan budaya dan jati diri negara.
“Kebersihan bukan sekadar tanggungjawab pihak berkuasa atau pekerja pembersihan. Kebersihan ialah tanggungjawab kita bersama dan cerminan budaya serta jati diri negara. HCM perlu menjadi titik tolak kepada perubahan sikap dan amalan yang berterusan,” kata beliau.
Inisiatif ini diperkukuh berikutan peningkatan penjanaan sisa pepejal negara yang mencapai 14.5 juta tan metrik pada tahun 2024 dan dijangka meningkat kepada 17 juta tan metrik menjelang 2035, yang mana kerajaan membelanjakan sekitar RM2 bilion setahun bagi pengurusan sisa dan pembersihan awam.
HCM Peringkat Kebangsaan 2026 bakal berlangsung pada 26 September 2026 di Pasar Taman Seri Gombak, Batu Caves, dengan sokongan Kerajaan Negeri Selangor, Majlis Perbandaran Selayang (MPS), KPM dan 21 rakan strategik korporat serta NGO. Orang ramai boleh mendaftar menerusi imbasan kod QR KPKT bagi menerima sijil penghargaan digital.
Akses Malaysia merupakan satu saluran pengetahuan dan informasi yang disediakan bagi membolehkan pembaca mendapatkankan info-info terkini dalam dan luar negara.


































