PUTRAJAYA, 27 Oktober 2026 – Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan (KPKT) menyemarakkan semangat perpaduan melalui penganjuran Majlis Pesta Cahaya Sempena Perayaan Deepavali Peringkat KPKT Tahun 2026 di Dewan Kristal, KPKT hari ini.
Majlis yang disifatkan paling meriah itu dihadiri Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan, Nga Kor Ming, bersama Menteri Sumber Manusia, Datuk Sri Ramanan Ramakrishnan, dan Timbalan Menteri KPKT, Datuk Hajah Aiman Athirah Sabu.
Nga Kor Ming berkata KPKT sentiasa menjadikan sambutan perayaan utama di Malaysia sebagai wadah untuk menyatukan warga kementerian, memupuk persefahaman dan menyemai rasa hormat terhadap kepelbagaian.
“Inilah sambutan Deepavali terbesar yang dianjurkan dalam sejarah KPKT. Di KPKT, kepelbagaian bukanlah penghalang untuk kita bersatu sebaliknya merupakan kekuatan yang menyatukan kita sebagai satu keluarga,” kata beliau.
Beliau turut menambah bahawa semangat kebersamaan dan saling menghormati perlu terus diperkukuh dalam setiap aspek kehidupan, selaras dengan aspirasi Kerajaan MADANI untuk membina masyarakat yang harmoni, inklusif dan sejahtera.
Dalam majlis berkenaan, beliau turut berkongsi pelbagai inisiatif Kerajaan MADANI untuk komuniti India menerusi MITRA merangkumi subsidi pendidikan awal B40, bantuan dialisis pesakit buah pinggang, serta peruntukan lebih RM200 juta di bawah KPKT bagi menaiktaraf dan membaikpulih Rumah Beribadat Bukan Islam (RIBI) seluruh negara.
Pada masa yang sama, sambutan turut diserikan dengan tarian tradisional diiringi paluan gendang Dhol, persembahan kebudayaan Kumpulan BollyOn, seni mempertahankan diri Silambattam, serta persembahan perpaduan daripada Koir SWCorp dan Band Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM).
Secara keseluruhannya, penganjuran majlis ini dilihat menjadi manifestasi komitmen KPKT dalam membina persekitaran kerja yang inklusif serta memperkukuh semangat kekitaan sebagai asas organisasi yang bersatu padu.
Sebuah ruang peribadi untuk merakam idea, berkongsi pengalaman dan mengabadikan hal-hal yang mencuri perhatian. Dikenali dengan nama pena Aidil Abdullah



































