KUALA LUMPUR, 2 Mac 2026 – Persatuan Ejen-Ejen Pelancongan dan Pengembaraan Malaysia (MATTA) menasihati para pelancong agar sentiasa peka dengan perkembangan terkini susulan gangguan operasi penerbangan antarabangsa akibat ketegangan geopolitik di Timur Tengah.
Beberapa hab penerbangan utama dan ruang udara di rantau Teluk kini beroperasi di bawah langkah keselamatan yang ketat, menyebabkan syarikat penerbangan terpaksa melaksanakan penggantungan, lencongan laluan, dan perubahan jadual secara drastik.
Naib Presiden Pengangkutan Udara MATTA, Dr. Fazil Khan tampil menjelaskan bahawa segala kesulitan yang timbul adalah keputusan mutlak pihak syarikat penerbangan dan pihak berkuasa penerbangan atas faktor keselamatan.
“MATTA ingin menjelaskan bahawa gangguan semasa adalah di luar kawalan ejen pelancongan.
“Keputusan operasi berkaitan penggantungan penerbangan, lencongan, kelewatan, pembatalan, atau penyelarasan semula jadual dibuat semata-mata oleh syarikat penerbangan dan pihak berkuasa berdasarkan pertimbangan keselamatan,” tegas beliau dalam satu kenyataan semalam.
Susulan situasi yang tidak menentu ini, Dr. Fazil turut mengingatkan pengguna bahawa sebarang perubahan pada aturan perjalanan; termasuk pindaan jadual, penempatan semula penumpang, atau permohonan bayaran balik; adalah tertakluk sepenuhnya kepada terma dan syarat yang ditetapkan oleh syarikat penerbangan serta penyedia perkhidmatan.
Walau bagaimanapun, beliau memberi jaminan bahawa ahli MATTA akan memberikan kerjasama penuh dan profesionalisme dalam membantu pelanggan mencari penerbangan alternatif yang sewajarnya.
“Namun, alternatif sedemikian kekal tertakluk kepada dasar komersial yang telah ditetapkan dan keputusan operasi syarikat penerbangan serta rakan kongsi hotel di lapangan,” tambahnya.
Orang ramai dinasihatkan untuk memantau maklumat perkembangan rasmi yang dikeluarkan oleh syarikat penerbangan, pihak berkuasa penerbangan awam, dan nasihat perjalanan kerajaan sebelum memulakan sebarang perjalanan antarabangsa.
Akses Malaysia merupakan satu saluran pengetahuan dan informasi yang disediakan bagi membolehkan pembaca mendapatkankan info-info terkini dalam dan luar negara.









































