PUTRAJAYA, 5 Ogos 2022 — Permohonan bagi pengambilan pekerja warga asing dihentikan buat sementara waktu bermula 15 hingga 31 Ogos ini, menurut Kementerian Sumber Manusia (KSM) hari ini.
Langkah itu adalah bagi membolehkan semakan ke atas tatacara permohonan pekerja warga asing dibuat susulan pindaan kepada Akta Kerja 1955 (Pindaan 2022) yang akan berkuat kuasa mulai 1 September depan, menurut KSM dalam satu kenyataan hari ini.
“Tatacara baharu bagi permohonan pengambilan pekerja warga asing mulai 1 Sept 2022 akan dimaklumkan dalam masa terdekat,” menurut KSM.
Semua permohonan yang dikemukakan oleh majikan sebelum atau pada 14 Ogos akan diproses dan diselesaikan sebelum atau pada 31 Ogos 2022, tambah kenyataan itu.
Akta Kerja 1955 (Pindaan 2022) yang diluluskan di Parlimen pada Mac lalu antaranya adalah lanjutan cuti bersalin dari 60 hari kepada 98 hari, sekatan terhadap pemberhentian pekerja yang mengandung serta pengenalan cuti bersalin buat pekerja lelaki yang telah berkahwin.
— Akses Malaysia