KUALA LUMPUR, 6 September 2026 – Kira-kira lebih 350 peserta menyertai Larian FCC Nadi Hijau – Larian untuk Hutan Bandar hari ini bagi menyokong amalan gaya hidup sihat di samping meningkatkan kesedaran awam terhadap kepentingan pemuliharaan hutan dan hutan bandar di ibu kota.
Larian sejauh 5 kilometer yang bermula di Dataran DBKL dan berakhir di Taman Eko Rimba Kuala Lumpur itu telah disempurnakan acara pelepasannya oleh Timbalan Menteri Sumber Asli dan Kelestarian Alam (NRES), YB Tuan Syed Ibrahim Syed Noh.
Penganjuran program ini merupakan hasil kerjasama antara Malaysia Forest Fund (MFF), Jabatan Perhutanan Semenanjung Malaysia (JPSM) dan Jabatan Perhutanan Wilayah Persekutuan (JPWP) sempena program Communication, Education and Public Awareness (CEPA), inisiatif Penghijauan Malaysia, serta menyokong kempen Tahun Melawat Malaysia 2026.
Program ini turut berfungsi sebagai platform komunikasi awam bagi memperkenalkan Projek Forest Conservation Certificate (FCC) di bawah JPWP menerusi Pelan Pengurusan Hutan bagi Jabatan Perhutanan Wilayah Persekutuan (2026–2035) bagi memperkukuh pemuliharaan serta pembangunan ekopelancongan mampan.
Pegawai Yang Menjalankan Tugas-Tugas Ketua Pegawai Eksekutif MFF, Suhaini Haron, berkata program ini menterjemahkan pemeliharaan alam sekitar sebagai tanggungjawab bersama.
“Melalui Larian FCC Nadi Hijau, kita mahu meningkatkan kesedaran bahawa hutan adalah sebahagian daripada kehidupan kita dan pemeliharaannya memerlukan penglibatan semua pihak,” kata beliau.
Program ini turut menggalakkan penglibatan sektor korporat dalam memenuhi agenda Alam Sekitar, Sosial dan Tadbir Urus (ESG) serta Tanggungjawab Korporat (CSR), dengan sokongan utama daripada Mampani selaku penaja utama dan KPMG Malaysia.
Akses Malaysia merupakan satu saluran pengetahuan dan informasi yang disediakan bagi membolehkan pembaca mendapatkankan info-info terkini dalam dan luar negara.


































