TANJUNG KARANG, 16 September 2025 – Menjelang Sambutan Hari Malaysia 2025 pada 16 September ini, lebih 1,000 belia berusia 16 tahun ke atas daripada 15 kampung sekitar Tanjung Karang tampil menjayakan Kejohanan Sukan Rakyat (KASURA) edisi ke-10 yang berlangsung di Kampung Seri Tiram Jaya. Kejohanan berimpak tinggi ini yang berlangsung dari 12-14 September, menampilkan 13 acara sukan termasuk -Sport Mobile Legend, sepak takraw, bola sepak, futsal, bola tampar, bola jaring dan petanque. Pemenang setiap acara membawa pulang hadiah wang tunai.
KASURA yang bermula sejak 2009 kini menjadi wadah penyatuan masyarakat desa, sekali gus menjelmakan semangat perpaduan dan cintakan negara melalui sukan, bertepatan dengan aspirasi Hari Malaysia. Kehadiran belia dalam jumlah besar bukan sahaja memberi warna pada sambutan, malah memperkukuh mesej bahawa generasi muda kampung mampu menyumbang pada agenda nasional.

Penyelaras DUN Permatang merangkap penganjur, Mohd. Yahya Mat Sahri berkata kejohanan ini bukan sekadar acara pertandingan tetapi platform menggilap kepimpinan dan bakat belia kampung. Pertandingan E-Sport Mobile Legend yang melibatkan 60 peserta menjadi tarikan utama kerana ia dekat dengan minat generasi muda masa kini.
“Hari Malaysia melambangkan penyatuan dan kekuatan rakyat. Dengan acara tahun ini, hasrat utama kami adalah mendekati serta memperkasa belia kampung melalui sukan. Mereka bukan sahaja bertanding, tetapi dilatih merancang, mengurus dan memimpin pasukan. Inilah cara kita lahirkan pemimpin kampung yang berkualiti serta jaguh sukan yang boleh mengharumkan nama Malaysia,” katanya beliau yang lebih dikenali dengan nama Pak Ya.

Sejak pertama kali dianjurkan di Kampung Seri Tiram Jaya, KASURA kini berkembang pesat. Format tuan rumah bergilir telah menjadikan kejohanan ini acara tahunan yang ditunggu-tunggu, dari Kampung Sungai Gulang-Gulang (2010), Kampung Bukit Belimbing (2011) hingga Kampung Bestari Jaya/UNISEL (2024), sebelum kembali semula ke Seri Tiram Jaya tahun ini.
Bagaimanapun, cabaran utama penganjuran ialah kekurangan fasiliti asas seperti padang bola sepak, gelanggang futsal, bola tampar, bola jaring dan sepak takraw. Yahya melalui Pusat Khidmat Penyelaras DUN Permatang telah memohon peruntukan daripada Kerajaan Negeri Selangor untuk memastikan kejohanan ini terus berkembang.

“Sempena Hari Malaysia, kita ingin menghantar mesej jelas bahawa sukan adalah jambatan perpaduan. KASURA membuktikan belia kampung mampu bersaing dan menyumbang kepada negara. Dengan sokongan kerajaan negeri untuk fasiliti asas, saya percaya lebih banyak acara sukan rakyat boleh dianjurkan ketika sambutan kebangsaan seperti Merdeka dan Hari Malaysia pada masa depan,” tambah beliau.
Kejohanan yang bertepatan dengan sambutan Hari Malaysia ini sekaligus memperlihatkan peranan sukan rakyat sebagai wadah menyatukan komuniti desa, selain menjadi platform awal pembangunan bakat baharu yang berpotensi diketengahkan ke peringkat negeri dan kebangsaan.
Akses Malaysia merupakan satu saluran pengetahuan dan informasi yang disediakan bagi membolehkan pembaca mendapatkankan info-info terkini dalam dan luar negara.















































