PUCHONG, 24 Oktober 2026 – Lebih 2,000 pengunjung menghadiri Program Jiwa Rahmah Santuni MADANI yang dianjurkan oleh Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan (KPKT) dan berlangsung meriah di Dewan Komuniti Taman Putra Perdana hari ini.
Majlis perasmian program berkenaan disempurnakan oleh Timbalan Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan, Datuk Hajah Aiman Athirah Sabu.
Program yang dijayakan dengan kerjasama strategik bersama Majlis Perbandaran Sepang (MPSepang) itu berfungsi sebagai pusat hentian setempat bagi memudahkan penduduk tempatan mendapatkan maklumat, menerima khidmat nasihat serta menyelesaikan pelbagai urusan rasmi di satu lokasi.
KPKT bersama agensi di bawahnya merangkumi Jabatan Perumahan Negara (JPN), Perbadanan PR1MA Malaysia, Syarikat Perumahan Negara Berhad (SPNB), Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM), Perbadanan Pengurusan Sisa Pepejal dan Pembersihan Awam (SWCorp), Jabatan Pengurusan Sisa Pepejal Negara (JPSPN), Jabatan Kerajaan Tempatan (JKT), Jabatan Landskap Negara (JLN), PLANMalaysia dan Urbanice Malaysia turut turun padang menyediakan perkhidmatan perumahan mampu milik, keselamatan kebakaran, pengurusan sisa serta perkhidmatan perbandaran.
Datuk Hajah Aiman Athirah Sabu berkata, program itu mencerminkan aspirasi Santuni MADANI yang diperkenalkan oleh Perdana Menteri bagi memastikan perkhidmatan kerajaan dapat disampaikan secara terus kepada masyarakat setempat.
“Inisiatif holistik ini direka khusus sebagai pusat hentian setempat bagi memudahkan penduduk tempatan mendapatkan maklumat, menerima khidmat nasihat serta menyelesaikan pelbagai urusan rasmi di satu lokasi,” kata beliau.
Bagi memastikan penyampaian perkhidmatan yang menyeluruh, program ini turut digerakkan menerusi kerjasama pelbagai agensi kerajaan seperti Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ), Polis Diraja Malaysia (PDRM), Jabatan Pendaftaran Negara (JPN), Pejabat Daerah dan Tanah, Pihak Berkuasa Tempatan (PBT), Jabatan Insolvensi Malaysia, Jabatan Kesihatan Negeri Selangor (JKNS), Perbadanan Tabung Pendidikan Tinggi Nasional (PTPTN), Agensi Antidadah Kebangsaan (AADK) serta Jabatan Kemajuan Masyarakat (KEMAS).
Kemudahan yang ditawarkan merangkumi pembaharuan lesen memandu, semakan saman, urusan kad pengenalan, bayaran cukai tanah dan taksiran, saringan kesihatan dan pergigian percuma, serta khidmat nasihat pendidikan dan pencegahan dadah.
Di samping itu, pelbagai zon khas turut disediakan termasuk Zon Jualan Rahmah kendalian ANGKASA, Zon Kelestarian dan Komuniti yang menyediakan kaunter kitar semula minyak masak terpakai serta agihan anak pokok, Zon Pemerkasaan Ekonomi (PEKB) yang menawarkan penukaran minyak hitam motosikal dan topi keledar percuma, serta Zon Pesta Makanan dan Keluarga yang berlangsung dari 22 hingga 24 Oktober 2026.
Program itu melambangkan komitmen KPKT untuk memastikan perkhidmatan awam terus bersifat inklusif, mesra rakyat dan berdaya saing, selaras dengan nilai teras Malaysia MADANI.
Sebuah ruang peribadi untuk merakam idea, berkongsi pengalaman dan mengabadikan hal-hal yang mencuri perhatian. Dikenali dengan nama pena Aidil Abdullah



































