Kuala Lumpur, 23 Ogos 2022 — Lebih daripada 30 cadangan telah diutarakan semasa Majlis Konsultasi Bajet 2023 hari ini yang menyentuh aspek rakyat, perniagaan, ekonomi dan kerajaan yang selaras dengan tema ‘Memperkukuh Pemulihan dan Memudah Cara Pembaharuan ke arah Kemampanan Daya Tahan Ekonomi dan Kesejahteraan Keluarga Malaysia’, menurut Kementerian Kewangan (MoF).
MoF menyatakan antara cadangan adalah memperkukuh program untuk meningkatkan pendapatan rakyat berpendapatan rendah, menyediakan peluang dan bantuan kepada golongan B40, warga emas dan orang kelainan upaya (OKU), meningkatkan pembangunan modal insan dan tenaga mahir.
“Antara topik utama termasuk menangani peningkatan kos sara hidup rakyat, pembangunan industri pertanian, penjagaan kesihatan awam, pelaksanaan subsidi bersasar dan meningkatkan kerjasama sektor awam, swasta dan sosial ke arah mensejahterakan Keluarga Malaysia.
Selain itu, cadangan turut merangkumi meningkatkan peranan Kerajaan dan syarikat berkaitan kerajaan untuk membangunkan vendor khususnya usahawan muda, wanita, perusahaan mikro, kecil dan sederhana serta bajet yang lebih inklusif terutama melibatkan golongan rentan, wanita dan OKU,” menurut MoF.
Sementara itu, kata MoF, daya saing komuniti perniagaan dan kemampanan industri seperti perusahaan kecil dan sederhana dan industri pelancongan juga perlu diperkukuh seperti menambah baik infrastruktur dan mudah cara, meningkatkan produktiviti, serta mengalakkan penggunaan teknologi dan digitalisasi dalam perniagaan, menurut MoF.
Terdapat juga keperluan untuk menambah baik kecekapan penyampaian perkhidmatan awam dari segi tadbir urus; pembendungan rasuah; dan perkhidmatan kesihatan, tambah MoF.
Bagi mempercepatkan pencapaian Agenda Pembangunan Mampan menjelang 2030 pula, tumpuan dan kerjasama semua pihak diperlukan dalam memastikan perlindungan dan pemuliharaan alam sekitar dan iklim, pengurusan bencana serta sekuriti makanan.
“Perbincangan pada hari ini merupakan titik tolak kepada sesi libat urus yang lebih komprehensif yang bakal diadakan dalam masa terdekat untuk memperhalusi input Bajet 2023. Kementerian Kewangan akan mengadakan siri mesyuarat kumpulan fokus untuk membincangkan bidang-bidang terpilih,” menurut MoF.
Majlis Konsultasi Bajet 2023 yang disempurnakan oleh Perdana Menteri Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob di MOF merangkumi dua sesi yang dipengerusikan oleh Menteri Kewangan Tengku Datuk Seri Zafrul Tengku Abdul Aziz dan Timbalan Menteri Kewangan 1 Datuk Mohd Shahar Abdullah.
Majlis itu dihadiri hampir 300 peserta daripada sektor swasta, pendidikan, pertubuhan bukan kerajaan dan pertubuhan masyarakat sivil yang turut mencadangkan langkah sesuai untuk dipertimbangkan dalam penyediaan Bajet 2023 yang dijangka dibentangkan di Parlimen pada Oktober ini.
Di samping itu, sebagai pelengkap kepada Konsultasi Bajet pada hari ini, MoF juga telah melancarkan Portal Cadangan Bajet 2023. Portal itu merupakan salah satu usaha Kerajaan dalam menjadikan proses penyediaan Bajet tahunan lebih telus yang mengalu-alukan penglibatan semua rakyat. Seluruh Keluarga Malaysia dijemput untuk mengemukakan cadangan dengan melayari laman web Kementerian Kewangan di pautan https://budget.mof.gov.my/bajet2023/ .
— Akses Malaysia