ISKANDAR PUTERI, 15 Jun 2023 – LEGOLAND® Malaysia Resort telah memberikan gambaran awal tentang rancangan terhadap model-model LEGO® boleh skala terbaharu yang bakal menggambarkan keindahan landskap, seni bina, dan budaya Malaysia dalam satu sesi ekslusif bersama media hari ini.
Model-model yang mengabadikan kepelbagaian Malaysia menggunakan LEGO ini dinamakan MINILAND Amazing Malaysia dan dijadualkan akan dipamerkan di Taman Tema LEGOLAND dan dilancarkan pada Ogos 2023.
Hasil render 3D awal MINILAND Amazing Malaysia memberikan gambaran bahawa pengunjung dapat merasa sendiri pengalaman berada di tapak warisan unik seperti suasana kebudayaan di Kota Bharu, Kelantan; landskap Gua Mulu, Sarawak yang menakjubkan; dan kesibukan kota warisan Georgetown, Pulau Pinang.
MINILAND Amazing Malaysia bakal menawarkan pengalaman interaktif – dengan permainan 2-pemain serta animasi penuh aksi yang dapat dialami di dalam kawasan seluas 381m2 itu.
Pengunjung akan menikmati keunikan cerita-cerita dan kebudayaan Malaysia tanpa perlu meninggalkan resort ini.
Antara adegan-adegan ini bakal membawa pengunjung untuk menyelami kenangan penuh nostalgia seperti di Jonker Walk, lepak di mamak hingga larut malam, dan bermain sepak takraw dengan kawan-kawan sekampung.
Pengarah Bahagian, LEGOLAND Malaysia Resort, CS Lim dipetik berkata Malaysia mempunyai banyak destinasi menarik penuh dengan seni bina, landskap, budaya dan sejarah yang menakjubkan – satu pilihan yang jelas apabila bercadang membuka kawasan baharu yang dapat memberikan keterujaan kepada pengunjung.

“Pengunjung akan dapat merasai pengalaman melawat destinasi-destinasi di Malaysia dengan hanya satu hentian di LEGOLAND Malaysia Resort. Sehubungan dengan itu, kami harap selepas melawat (MINILAND Amazing Malaysia), pengunjung akan mendapat inspirasi untuk merancang pengembaraan menjelajah Malaysia, sekaligus menggalakkan pelancongan tempatan yang akan menguntungkan ekonomi dan rakyat,” katanya lagi.
MINILAND Amazing Malaysia yang baharu ini dijadualkan akan siap dan dipasang dalam masa dua bulan; dan pembinaannya dijangka mengambil masa sehingga 14,000 jam.
Amazing Malaysia akan dibina dengan menggunakan 1.38 juta bata LEGO dan akan mempamerkan 126 Model LEGO mengikut skala sebenar yang terbahagi kepada Malaysia Timur, Malaysia Barat, dan Laut China Selatan.
“Keunikan LEGOLAND Malaysia Resort jika dibandingkan dengan LEGOLAND di seluruh dunia adalah bagaimana kami menyuntik budaya tempatan ke dalam segala yang kami lakukan, menjadikan LEGOLAND Malaysia sebagai destinasi pilihan untuk dikunjungi oleh pengunjung tempatan dan antarabangsa berulang kali,” kata Scott O’Neil, Ketua Pegawai Eksekutif Merlin Entertainments semasa pratonton media MINILAND Amazing Malaysia.
Beliau turut menambah bahawa kebanyakan pelaburan dan aktiviti-aktiviti unik yang dianjurkan berjaya meraih perhatian berikutan dari sokongan kuat Kerajaan Malaysia.
“Oleh itu, Merlin Entertainments akan terus memberikan komitmen untuk terus melabur di LEGOLAND Malaysia Resort dalam beberapa tahun yang akan datang,” kata O’Neil lagi.
Pengalaman MINILAND yang lebih selesa
Sementara itu, pengunjung yang merancang untuk melawat LEGOLAND Malaysia Resort masih boleh mengunjungi MINILAND untuk menikmati struktur teduh lima tingkat yang baharu yang meliputi seluruh kawasan tersebut.
Pengunjung dapat menikmati suasana yang lebih teduh dan selesa sambil berinteraksi dengan keajaiban LEGO yang dibina megah dengan lebih 30 juta bata LEGO yang mempamerkan tarikan terkenal dari 17 buah negara di Asia.