Anda ingin merancang percutian bersama keluarga atau rakan-rakan di Johor? Tahu tak, Muar merupakan bandar yang popular untuk dilawati dan diterokai pelancong untuk makanan, kopi dan juga bangunan prasejarah!
Jadi, kalau Muar merupakan destinasi pilihan anda, terdapat beberapa tempat makan yang menarik untuk anda lawati sama ada sekadar untuk mengisi perut yang lapar dengan juadah lazat atau untuk suasana estetik juga.
Mari lihat tempat makan yang anda boleh masukkan dalam senarai destinasi ketika meneroka Bandar Maharani ini!
Asam Pedas Kak Fyda
Bila sudah sampai di Muar, mesti selera makanan berat membuak-buak lebih-lebih lagi bagi anda yang datang dari jauh. Nak pula sampai pada waktu tengah hari, memang sesuai untuk singgah terus ke Asam Pedas Kak Fyda!
Restoran yang dimulakan sejak awal tahun 2020 dan mendapat sambutan dari penduduk setempat ini menawarkan menu utama seperti asam pedas pelbagai jenis ikan dan siput sedut masak lemak cili api.

Alamat: Lot 3674, Kampung Sagil Parit 2, 84900 Tangkak, Johor
No. Telefon: 012-317 5344
Medan Selera Sabak Awor
Tiba masa untuk makan malam, boleh datang ke Medan Ikan Bakar Sabak Awor yang popular dengan pilihan makanan laut. Berkonsepkan medan selera, pelbagai makanan laut yang segar-segar dipamerkan untuk anda pilih mengikut cita rasa sebelum dimasak menjadi hidangan.
Antara hidangan utama untuk santapan yang lazat untuk anda cuba ialah Siakap Masak 3 Rasa dan Stim Limau, Udang Salted Egg, dan Sotong Goreng Tepung. Kenyang perut dibuatnya!


Alamat: Medan Selera, Jalan Cahaya, Sabak Awor, 84000 Muar, Johor
No. Telefon: 012-697 2564
R&H Cafe Satay Maharani
R&H Cafe Satay Maharani menyediakan pilihan makanan yang sangat sesuai bagi anda yang suka bersarapan di luar dan yang gemarkan hidangan berat seperti Lontong dan Mee Rebus. Tambahan lagi, selain menu-menu seperti nasi lemak, kedai ini mempunyai keunikan tersendiri kerana anda kini boleh menikmati sate di waktu pagi.
Suasana kedai yang meriah dan cantik dengan hiasan pokok-pokok juga pastinya mewujudkan suasana segar di pagi hari!


Alamat: 15, Jalan Seri Temenggong 26/1, Taman Sri Temenggong, 84000 Muar, Johor
No. Telefon: 018-215 2794
KOPI 434
Peminat kopi wajib tahu tentang ‘kopitiam’ ini kerana Sai Kee Kopi 434 merupakan kopi lokal yang disukai ramai sejak hampir 70 tahun lama lagi. Kopi 434 ini memang sangat sinonim dan produknya antara pilihan utama bagi penduduk setempat di bandar Muar.
Bagi yang suka bergambar mesti akan suka dengan keestetikan kopitiamnya ini.
Anda mesti cuba kebanyakan menu di sini! Tidak cukup dengan minum, boleh beli produk uncang kopinya juga untuk dibawa pulang! Produk uncang kopi yang dijual adalah Kopi O Kosong, Kopi O Elephant dan Elephant Bean Drip Coffee.

Alamat: No. 121, Jalan Maharani, Taman Sri Emas, 84000 Muar, Johor
No. Telefon: 06-9513828
Muar Cafe Gallery
Muar Cafe Gallery adalah sebahagian daripada Muar Art Gallery yang dibuka kepada pengunjung untuk menikmati pameran seni dan meluangkan masa di ruang kreatif tanpa mengira usia, baik kanak-kanak mahupun dewasa.
Setelah menikmati pameran dan aktiviti yang ditawarkan, anda juga boleh mengunjungi kafe yang terletak di dalam galeri ini. Kafe ini menawarkan suasana yang cantik dan terang, yang sesuai untuk anda mengambil gambar bersama hidangan dan minuman yang disediakan!


Alamat: 66-1, Jalan Hang Tuah, Taman Junid Perdana, 84000 Muar, Johor
No. Telefon: 012-703 3789