KUALA LUMPUR, 21 Julai 2026 – Sektor pelancongan di rantau Asean terus menjadi keutamaan pengguna, namun corak perancangan dan perbelanjaan perjalanan kini dilihat semakin terancang serta berhati-hati. Seiring perubahan ekonomi dan situasi global, para pelancong kini membuat pilihan yang lebih bijak mengenai destinasi pilihan, jumlah perbelanjaan, serta tempoh tempahan yang sesuai.
Berdasarkan data tempahan awal platform perkhidmatan pelancongan AirAsia MOVE (MOVE) bagi tempoh 1 Julai hingga 31 Disember 2026, pengguna kini lebih mengutamakan nilai perkhidmatan, kemudahan, serta perancangan awal berbanding jumlah perjalanan semata-mata. Hasil dapatan tersebut menunjukkan peralihan daripada keputusan impulsif kepada corak perjalanan yang lebih terancang dengan memilih destinasi yang menawarkan tempoh perjalanan lebih singkat dan pengalaman bermakna pada harga berpatutan.
Pertamanya, pengguna dikenal pasti berbelanja secara lebih berhemah tanpa mengurangkan percutian mereka. Data MOVE merumuskan purata perbelanjaan penerbangan bagi separuh kedua tahun 2026 adalah 35 peratus lebih tinggi berbanding perbelanjaan penginapan.
Situasi ini menunjukkan pelancong sanggup melabur untuk sampai ke destinasi pilihan, namun lebih selektif dalam pemilihan hotel. Sebanyak 76 peratus daripada tempahan penginapan menumpukan kepada hotel taraf tiga dan empat bintang yang menawarkan keselesaan serta nilai perkhidmatan seimbang.
Trend kedua menyaksikan tempoh pembayaran gaji menjadi waktu utama pengguna menukar perancangan kepada tempahan rasmi. Hampir 40 peratus tempahan tiket penerbangan dibuat bagi perjalanan antara 25 haribulan hingga 5 haribulan berikutnya, sekali gus selari dengan kitaran penerimaan gaji di kebanyakan pasaran Asean.
Corak ini menggambarkan pengguna menggunakan pendekatan perbelanjaan yang lebih berdisiplin menerusi perancangan kewangan yang teliti.
Faktor kemudahan turut menjadi pendorong utama dalam pemilihan destinasi percutian. Walaupun permintaan pelancongan domestik kekal kukuh, penerbangan antarabangsa bawah tempoh empat jam mencatatkan peningkatan tempahan sebanyak 14 peratus bagi separuh kedua 2026 berbanding tempoh yang sama pada tahun lalu. Destinasi jarak dekat ini membolehkan pengguna memaksimalkan bajet dan masa percutian mereka secara optimum.
Trend keempat menjangkakan sektor pelancongan antarabangsa akan terus mengukuh pada separuh kedua tahun ini. Pelancong kini mula membuat tempahan seawal lebih 120 hari sebelum tarikh pelepasan, yang mencerminkan keyakinan tinggi terhadap perancangan jangka panjang.
Malaysia, Thailand, Indonesia, Jepun, dan Filipina dijangka kekal sebagai destinasi tumpuan utama hasil sokongan rangkaian perhubungan yang cekap serta tawaran harga yang kompetitif.
Trend terakhir mengesahkan bahawa golongan generasi Milenial dan Gen Z terus menjadi penggerak utama industri pelancongan rantau ini. Kumpulan Milenial menyumbang sebanyak 43 peratus daripada keseluruhan tempahan di platform MOVE, diikuti Gen Z sebanyak 23 peratus. Gabungan dua generasi ini membentuk hampir dua pertiga daripada keseluruhan tempahan, sekali gus membuktikan bahawa aktiviti pelancongan kekal sebagai keutamaan gaya hidup mereka menerusi pemilihan pengalaman yang memaksimumkan nilai bajet harian.
Akses Malaysia merupakan satu saluran pengetahuan dan informasi yang disediakan bagi membolehkan pembaca mendapatkankan info-info terkini dalam dan luar negara.














































