KUALA LUMPUR, 15 OGOS — Lembaga Penduduk dan Pembangunan Negara (LPPKN) hari ini telah menganjurkan sebuah forum dengan tujuan untuk berdiskusi dan mencari penyelesaian terbaik mengenai pemerkasaan wanita dan kanak-kanak perempuan dalam pendidikan, ekonomi, dan kesihatan.
Forum ini dianjurkan sempena Hari Penduduk Sedunia 2023 yang disambut setiap tahun pada 11 Julai untuk meningkatkan kesedaran masyarakat tentang isu-isu kependudukan dunia.
Forum ini juga dianjurkan seiring dengan tema Hari Penduduk Sedunia tahun ini iaitu “Mengorak Kuasa Kesaksamaan Gender: Memperkasa Suara Wanita Dan Kanak-Kanak Perempuan Bagi Membuka Peluang Dunia Tanpa Batas”.
Tema ini dipilih oleh United Nations Population Fund (UNFPA) berdasarkan isu global mengenai ketidaksaksamaan gender dan diskriminasi yang masih berlaku di seluruh dunia, walaupun wanita dan kanak-kanak perempuan membentuk hampir separuh populasi dunia iaitu 49.7 peratus.
Forum ini telah melibatkan 250 peserta, menunjukkan komitmen dan kerjasama yang kuat antara agensi kerajaan, sektor swasta, dan badan bukan kerajaan (NGO) dalam mengintegrasikan isu kependudukan dalam pembangunan negara.
YB Dato’ Sri Hajah Nancy Shukri, Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat telah merasmikan forum ini secara maya.
Panelis yang telah menjayakan forum ini terdiri daripada YBhg. Dato’ Sri Rohani Abdul Karim, Pengerusi LPPKN, YBhg. Dato’ Sri Dr. Mohd Uzir Mahidin, Ketua Perangkawan Malaysia, dan YM Tengku Aira Tengku Razif, UNFPA Malaysia.
Selain itu, forum ini juga turut dihadiri oleh YBrs. Tuan Haji Abdul Shukur Abdullah, Ketua Pengarah LPPKN, dan YBhg. Prof. Dato’ Ir. Dr. Mohd Hamdi Abdul Shukor, Naib Canselor, Universiti Malaya.
Di seluruh dunia, masalah seperti stereotaip gender, diskriminasi, dan sikap prejudis masih dihadapi oleh banyak wanita dan kanak-kanak perempuan.
Global Gender Gap Report 2022 telah menempatkan Malaysia di tangga ke-103 daripada 146 negara dalam merapatkan kesaksamaan gender.
Rendahnya penyertaan wanita dalam tenaga buruh dan kurangnya keterlibatan mereka dalam kelompok pembuat keputusan adalah faktor yang mempengaruhi kedudukan Malaysia dalam laporan tersebut.
Ini menekankan kepentingan kesedaran dan tindakan dari semua institusi untuk memberikan hak, peluang, dan perlindungan kepada setiap individu tanpa mengira jantina atau usia.