KUALA LUMPUR, 29 Januari 2026 – Malaysia Airlines Berhad (MAB) dan Singapore Airlines (SIA) hari ini secara rasmi memuktamadkan kerjasama perniagaan strategik susulan kelulusan yang diterima daripada Pihak Berkuasa Penerbangan Awam Malaysia (CAAM) pada Januari 2026, serta Suruhanjaya Persaingan dan Pengguna Singapura (CCCS) pada Julai 2025.
Langkah strategik ini membolehkan kedua-dua syarikat penerbangan nasional itu memperluas kerjasama komersial, termasuk inisiatif perkongsian hasil bagi penerbangan antara kedua-dua negara, menawarkan produk tambang bersama, serta menyelaraskan jadual penerbangan.
Pengarah Urusan Kumpulan Malaysia Aviation Group (MAG), Datuk Kapten Izham Ismail berkata, kerjasama ini adalah sebahagian daripada Pelan Perniagaan Jangka Panjang 3.0 (LTBP 3.0) kumpulan tersebut.
Kerjasama ini menggabungkan kekerapan penerbangan supaya saling melengkapi dengan jadual yang lebih selaras, membolehkan capaian yang lebih meluas antara Malaysia dan Singapura.
“Untuk perancangan yang lebih panjang, ini dapat memperkukuh kedudukan Malaysia Airlines supaya lebih berdaya saing, dengan meningkatkan skala pertumbuhan, lebih relevan dan daya tahan rangkaian di pasaran-pasaran utama,” katanya.
Sementara itu, Ketua Pegawai Eksekutif SIA, Goh Choon Phong menyifatkan kelulusan pihak berkuasa sebagai pembuka jalan kepada perkongsian yang memberi manfaat kepada kedua-dua pihak.
“Ia bukan sahaja memperkukuh operasi kedua-dua syarikat, malah menyokong pertumbuhan ekonomi dan hubungan rakyat antara Singapura dan Malaysia,” ujarnya.
Sejak menandatangani perjanjian pada Oktober 2019, MAB dan SIA telah memperluas hubungan perkongsian kod (codeshare) secara progresif.
Kini, SIA berkongsi kod bagi penerbangan Malaysia Airlines ke 15 destinasi domestik di Malaysia, manakala MAB berkongsi kod bagi penerbangan SIA ke destinasi antarabangsa utama termasuk London, Zurich, Cape Town dan Istanbul.
Selain itu, bermula Februari 2024, ahli program kesetiaan Enrich dan KrisFlyer juga telah mula menikmati kemudahan timbal balik untuk mengumpul mata ganjaran bagi penerbangan terpilih.
Akses Malaysia merupakan satu saluran pengetahuan dan informasi yang disediakan bagi membolehkan pembaca mendapatkankan info-info terkini dalam dan luar negara.















































