KUALA LUMPUR, 23 Oktober 2026 – Yayasan Kebajikan Budimas (Budimas) berjaya mengumpul dana sebanyak RM430,000 menerusi penganjuran Majlis Makan Malam Amal Night of a Thousand Blessings Kali Ke-8 yang berlangsung di Hotel Pullman Kuala Lumpur bagi menyokong kebajikan kanak-kanak kurang berkemampuan di seluruh negara.
Majlis yang menghimpunkan lebih 350 tetamu, termasuk wakil daripada lebih 30 syarikat korporat, mencatatkan detik bermakna apabila Budimas melakar rekod baharu sepanjang tahun 2026 dengan menyalurkan bantuan kebajikan kepada lebih 11,000 kanak-kanak kurang bernasib baik di seluruh Malaysia, berikutan sumbangan ikhlas penderma dan rakan strategik.
Kutipan dana berkenaan disalurkan terus bagi menyokong empat program teras Budimas iaitu Bantuan Makanan, Kediaman, Pendidikan dan Perubatan bagi memastikan golongan sasaran mendapat akses kepada hidangan berkhasiat, perlindungan yang selamat, peluang pembelajaran serta perkhidmatan rawatan kesihatan asas.
Majlis berkenaan diserikan dengan kehadiran Pengerusi Yayasan Kebajikan Budimas, Yang Mulia Tunku Dato’ Yaacob Khyra, serta menampilkan persembahan bakat daripada kanak-kanak Pusat Jagaan Kebajikan Kanak-Kanak Budimas Orion, The Pure Life Society dan Home for the Angels, selain acara lelongan senyap barangan sumbangan artis dan penyokong bagi memaksimumkan kutipan dana.
Pihak yayasan menzahirkan penghargaan kepada semua pihak yang terus konsisten menyokong usaha memartabatkan kesejahteraan generasi muda yang memerlukan bantuan di seluruh negara.
“Budimas merakamkan setinggi-tinggi penghargaan kepada semua pihak yang menyumbang kepada kejayaan malam ini. Komitmen berterusan mereka memperkukuh usaha Yayasan untuk meningkatkan taraf hidup kanak-kanak kurang berkemampuan di seluruh Malaysia,” menurut yayasan itu dalam satu kenyataan.
Akses Malaysia menyediakan berita terkini di dalam Malaysia dan luar negeri termasuk maklumat tentang usaha-usaha kerajaan, korporat, institusi pengajian, kampus, isu-isu global, ekonomi, tren terkini, dan pelbagai lagi.

































