Kuala Lumpur, 14 Julai 2023 — Lebih daripada 150 orang media tempatan dan serantau hari ini telah menghadiri Majlis Makan Malam yang dianjurkan oleh Lembaga Pelancongan Sarawak (STB).
Majlis ini bertujuan untuk memperkenalkan media dengan pelbagai keunikan dan tarikan utama di Sarawak, seperti kebudayaan, pengembaraan, keindahan alam semulajadi, dan pelbagai juadah gastronomi Sarawak.
Ini merupakan salah satu daripada inisiatif Lembaga Pelancongan Sarawak untuk memperlihatkan pelbagai aspek keunikan Sarawak yang kaya dengan keindahan alam semulajadi dan kepelbagaian warisan budaya.
Para tetamu yang hadir dihiburkan dengan persembahan kebudayaan Sarawak yang memukau dan berjaya menggambarkan keindahan negeri ini berlatarbelakang hutan hujan Borneo.
Malam tersebut dimulakan dengan persembahan khas daripada Zamil Idris yang membawakan lagu Hijau dengan gayanya yang tersendiri. Lagu tersebut mengandungi makna mendalam mengenai kelestarian alam yang sangat dijaga oleh STB.

Ketua Pegawai Eksekutif Lembaga Pelancongan Sarawak, Puan Sharzede Datu Salleh Askor dalam ucapan aluannya menyatakan komitmen STB dalam memastikan keindahan dan sumber alam Sarawak kekal terpelihara.
“Sarawak adalah negeri yang bertuah kerana memiliki landskap yang pelbagai, taman negara, dan tapak UNESCO seperti Taman Negara Gunung Mulu. Walau bagaimanapun, kami sangat berhati-hati agar tidak merosakkan keindahan dan sumber alam kami. Ini adalah janji kami, dan ikrar kami terhadap Pelancongan Berhemah untuk memelihara kecantikan Sarawak sebagai satu destinasi yang bukan sahaja sesuai untuk dihuni malah untuk dilawati,” tambah beliau.
Sehubungan dengan itu, beliau turut menyeru semua pihak untuk memainkan peranan dalam memupuk kesedaran “Kesihatan Planet” melalui “Pelaksanaan Berhemah” dan memelihara serta memulihara alam sekitar dan kemampanan sosial ke seluruh ekosistem.
Seterusnya STB telah mengumumkan pemenang Anugerah Yours Truly, Sarawak sebagai penghargaan kepada sumbangan media dalam menyampaikan suara Sarawak ke media massa.
Anugerah ini diberikan kepada cerita dan liputan terbaik yang disiarkan di media penyiaran, media cetak, dan media dalam talian sejak Januari tahun ini.
Pemenang bagi kategori masing-masing adalah:
- Kategori Penyiaran: Aksi Nyata Bantu Merawat Bumi di RWMF 2023 Sarawak oleh KompasTV Pontianak.
- Kategori Media Cetak: Journeying into the Melanau Kitchen oleh Intan Maizura Ahmad Kamal dari New Straits Times.
- Kategori Media Dalam Talian: Kuching: A Peek Into Sarawak’s Heritage oleh Farid Wahab dari Leisurely Leisure.
Sebelum majlis makan malam berlangsung, pengamal media juga telah dijemput untuk menyertai pertandingan penulisan kreatif pendek “Yours Truly, Sarawak”, di mana mereka diminta untuk berkongsi kenapa mereka percaya Sarawak adalah satu destinasi impian.
Pemenang pertandingan tersebut adalah Farrah Naz Karim dari New Straits Times, David Bowden dari Travel Write Sdn Bhd, Niezam Abdullah dari mStar, Zaiful Ariffin dari Astro Awani, dan Shazmin Shamsuddin dari The Vibes.
Majlis makan malam ini turut diwarnai dengan persembahan dari Dewi Liana Seriestha, pemegang gelaran Ratu Cantik Malaysia World 2014 yang berasal dari Sarawak.
Selain itu, Akar Seni Malaysia tampil dengan koreografi yang mempesonakan, dan juga persembahan muzik sape oleh Leslie anak Eli. Masing-masing telah memberikan persembahan yang memukau tetamu yang hadir.
Malam media yang dianjurkan oleh Lembaga Pelancongan Sarawak ini bukan sahaja berjaya memperlihatkan tradisi Sarawak dari akar umbi, malah sekaligus memperkukuhkan lagi reputasi Sarawak sebagai destinasi pelancongan yang unik dan tidak mudah untuk dilupakan.
Dengan majlis makan malam ini, Sarawak berharap dapat terus menarik minat media dan pengunjung untuk merasai sendiri keindahan alam semulajadinya, kepelbagaian adat resam dan budaya, dan pelbagai pilihan makanan tempatan yang menyelerakan.
— Akses Malaysia