KLIA, 19 September 2026 – Malaysia Airlines dinobatkan sebagai Staf Penerbangan Terbaik di Asia pada Anugerah Syarikat Penerbangan Dunia Skytrax 2026, manakala anak kapal kabinnya meraih tempat ketiga dalam kategori Anak Kapal Kabin Terbaik Dunia.
Syarikat penerbangan kebangsaan itu turut melonjak ke tangga ke-21 dalam kategori Syarikat Penerbangan Terbaik Dunia berbanding kedudukan ke-27 pada tahun lepas, selain menduduki tempat kedua bagi kategori Perkhidmatan Lapangan Terbang Terbaik Dunia.
Presiden merangkap Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan Malaysia Aviation Group (MAG), Kapten Nasaruddin A. Bakar, berkata pengiktirafan berkenaan mencerminkan usaha bersama keseluruhan warga kerja di lapangan terbang, dalam penerbangan dan di sebalik tabir untuk menyampaikan Hospitaliti Malaysia.
“Mencapai kejayaan ini selepas bertahun-tahun secara konsisten menaiki tangga kedudukan global merupakan satu pencapaian bermakna buat syarikat penerbangan kebangsaan kita dan ganjaran secara langsung atas usaha gigih pasukan kami,” kata beliau.
“Semangat perkhidmatan yang mesra, prihatin dan konsisten inilah yang membezakan pengalaman Malaysia Airlines,” kata beliau lagi.
Pencapaian berkenaan disokong oleh pelbagai penambahbaikan perkhidmatan termasuk latihan keupayaan pasukan barisan hadapan, menu sajian dalam penerbangan yang sentiasa bertukar dan berkembang dengan citarasa lebih pelbagai, dan pembaharuan armada yang menyaksikan penerimaan 29 pesawat baharu setakat ini.
Inisiatif tersebut merupakan sebahagian daripada Pelan Perniagaan Jangka Panjang 3.0 MAG yang mensasarkan kedudukan Malaysia Airlines dalam kelompok 10 Syarikat Penerbangan Global Terbaik menjelang tahun 2030.
Akses Malaysia menyediakan berita terkini di dalam Malaysia dan luar negeri termasuk maklumat tentang usaha-usaha kerajaan, korporat, institusi pengajian, kampus, isu-isu global, ekonomi, tren terkini, dan pelbagai lagi.


































