SEPANG, 11 Mei 2026 – Malaysia Airlines mencapai tahap ketepatan masa (OTP) purata melebihi 90 peratus bagi bulan kedua berturut-turut pada April lalu, sekali gus meneruskan momentum cemerlang sejak awal tahun ini.
Pencapaian tersebut menyaksikan syarikat penerbangan nasional itu secara tekal melepasi sasaran 85 peratus yang ditetapkan sejak Januari 2026. Peningkatan ini didorong oleh penambahbaikan berterusan dalam operasi rangkaian, termasuk penyelarasan prosedur menaiki pesawat dan sokongan teknikal di darat yang lebih cekap bagi menjamin kelancaran perjalanan penumpang.
Data terbaharu menunjukkan permintaan pelanggan kekal kukuh dengan peningkatan trafik penumpang sebanyak lapan peratus pada April berbanding tahun sebelumnya. Pertumbuhan ini menyusuli kenaikan besar sebanyak 30 peratus yang dicatatkan pada Mac lalu, menggambarkan keyakinan pengembara yang stabil terhadap pasaran penerbangan utama negara.
Ketua Pegawai Eksekutif Perniagaan Syarikat Penerbangan daripada Malaysia Aviation Group, Bryan Foong berkata, fokus utama syarikat adalah untuk menyediakan operasi yang selamat serta boleh dipercayai dalam mendepani persekitaran industri yang sentiasa berubah.
“Kami sedar bahawa pengembara kini lebih mengutamakan faktor kebolehpercayaan dan fleksibiliti ketika merancang perjalanan mereka. Konsistensi operasi yang dicapai sejak beberapa bulan kebelakangan ini merupakan bukti kemajuan mantap syarikat, dan keutamaan kami adalah untuk memastikan setiap pelanggan berasa yakin serta disokong sepenuhnya sepanjang bersama kami,” kata beliau.
Bagi memberikan lebih nilai kepada pelanggan, Malaysia Airlines melancarkan kempen “Now Boarding” yang menawarkan pilihan perjalanan lebih fleksibel. Antaranya termasuklah pengenalan keluarga tambang Flex yang membolehkan penumpang melakukan pertukaran jadual penerbangan tanpa had tanpa sebarang bayaran tambahan.
Selain itu, syarikat turut menawarkan kemudahan mesra keluarga seperti tambang khas kanak-kanak dan pek aktiviti dalam pesawat. Pelanggan yang menempah secara terus melalui saluran rasmi syarikat juga layak menikmati pelbagai manfaat termasuk potongan harga untuk ahli Enrich dan tawaran pulangan tunai melalui rakan perbankan terpilih.
Prestasi memberangsangkan ini turut diterjemahkan menerusi lonjakan nilai jenama syarikat. Berdasarkan laporan Airlines 50 2026 oleh Brand Finance, nilai jenama Malaysia Airlines meningkat sebanyak 27 peratus kepada AS$771 juta. Peningkatan tersebut membolehkan syarikat mendaki empat anak tangga ke kedudukan ke-41 di peringkat global, sekali gus mencatatkan pertumbuhan nilai jenama tertinggi dalam kalangan syarikat penerbangan tempatan.
Akses Malaysia merupakan satu saluran pengetahuan dan informasi yang disediakan bagi membolehkan pembaca mendapatkankan info-info terkini dalam dan luar negara.












































