KLIA, 21 Julai 2026 – Malaysia Airlines memperkukuh keupayaan operasinya menerusi penyertaan dalam program Turbulence Aware anjuran Persatuan Pengangkutan Udara Antarabangsa (IATA). Langkah ini membuktikan komitmen berterusan syarikat penerbangan berkenaan dalam memanfaatkan kemajuan teknologi serta kerjasama industri bagi menyokong operasi penerbangan yang lebih selamat dan maklum, sekali gus meningkatkan keselesaan pengalaman perjalanan para penumpang.
Program berkenaan membekalkan maklumat gelora udara secara masa nyata yang direkodkan oleh syarikat-syarikat penerbangan peserta dari seluruh dunia. Kemudahan ini membolehkan juruterbang mengesan gelora udara cerah (Clear Air Turbulence), membuat keputusan penerbangan yang lebih tepat, serta meningkatkan tahap keselamatan serta keselesaan penumpang dan anak kapal. Tatkala corak cuaca global semakin sukar diramal, akses kepada maklumat operasi yang pantas menjadi elemen penting bagi membantu syarikat penerbangan mengukuhkan ketahanan operasi serta mengekalkan piawaian keselamatan tertinggi.
Ketua Pegawai Operasi Malaysia Airlines, Aida Salfaraz Ahmad Fadzil, berkata keselamatan menjadi teras utama dalam setiap keputusan yang diambil oleh pihak syarikat. Beliau menjelaskan bahawa seiring dengan persekitaran operasi yang berterusan berkembang, Malaysia Airlines kekal komited melabur dalam bidang teknologi dan rakan kerjasama industri bagi melengkapi juruterbang dengan maklumat operasi yang lebih baik.
“Penyertaan kami dalam program Turbulence Aware IATA merupakan satu lagi langkah untuk memperkukuh keupayaan operasi, meningkatkan keselesaan penumpang, serta memastikan setiap penerbangan dilaksanakan mengikut piawaian keselamatan dan keprihatinan tertinggi,” kata beliau.
Penglibatan dalam program Turbulence Aware ini berteraskan usaha berterusan Malaysia Airlines untuk memperkukuh kecemerlangan operasi, selain melengkapi pengiktirafan terbaharu yang diterima syarikat sebagai syarikat penerbangan bersinar Seven Star PLUS bagi penarafan keselamatan oleh AirlineRatings.com. Akreditasi berkenaan meletakkan Malaysia Airlines dalam kalangan syarikat penerbangan global yang diiktiraf atas piawaian keselamatan kabin yang cemerlang, disiplin operasi, serta budaya keselamatan yang kukuh di peringkat syarikat.
Sementara itu, Naib Presiden Senior Produk dan Perkhidmatan IATA, Frederic Leger, berkata data yang tepat pada waktunya membantu syarikat penerbangan mengurangkan impak gelora udara, sekali gus meningkatkan tahap keselamatan dan menawarkan penerbangan yang lebih selesa kepada penumpang. Beliau turut menyambut baik penyertaan Malaysia Airlines yang disifatkan mampu memperluas serta memperkaya liputan data program berkenaan, terutamanya di rantau Asia.
“Penyertaan mereka secara signifikan mengukuhkan liputan data kami, terutamanya di seluruh Asia,” kata beliau.
Gelora udara kekal menjadi antara cabaran operasi utama dalam industri penerbangan yang berpotensi memberi kesan kepada aspek keselamatan serta kecekapan perkhidmatan. Menerusi akses maklumat gelora udara yang lebih tepat dan pantas, platform Turbulence Aware menyokong kesedaran situasi yang lebih baik buat anak kapal penerbangan, sekali gus menyumbang kepada operasi yang lebih stabil dan efisien di seluruh rangkaian penerbangan global.
Penglibatan Malaysia Airlines mencerminkan pelaburan berterusan syarikat dalam menyediakan operasi yang selamat, boleh dipercayai, dan berorientasikan pelanggan. Dengan rangkaian penerbangan yang luas merentasi Asia, Eropah, dan Oceania, penyertaan Malaysia Airlines bakal membantu meningkatkan liputan data gelora udara di salah satu rantau operasi yang paling dinamik di dunia.
Akses Malaysia merupakan satu saluran pengetahuan dan informasi yang disediakan bagi membolehkan pembaca mendapatkankan info-info terkini dalam dan luar negara.












































