KLIA, 3 September 2026 – Malaysia Airlines menyambung semula laluan penerbangan terus dari Kuala Lumpur ke Fukuoka, sekali gus mengukuhkan rangkaian penerbangan ke Jepun serta menawarkan satu-satunya sambungan terus ke wilayah Kyushu dari Malaysia.
Penerbangan sulung MH56 yang berlepas dari Terminal 1 Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) pada jam 11.45 malam, 2 September 2026 menggunakan pesawat Boeing 737-8 telah merekodkan kadar muatan memberangsangkan iaitu 88 peratus bagi laluan keluar dan 90 peratus bagi penerbangan masuk pada 3 September.
Majlis pelepasan di KLIA diserikan dengan acara bertemakan kebudayaan Fukuoka serta dihadiri Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan Malaysia Aviation Group (MAG), Kapten Nasaruddin A. Bakar; Ketua Pegawai Eksekutif Perniagaan Penerbangan MAG, Bryan Foong; serta Duta Besar Jepun ke Malaysia, Tuan Yang Terutama Noriyuki Shikata.
Setiba di Lapangan Terbang Antarabangsa Fukuoka pada jam 7.05 pagi tadi, pesawat berkenaan disambut meriah dengan pancuran air, satu aktiviti tradisi industri penerbangan di seluruh dunia bagi menyambut sesuatu pesawat baharu yang tiba di sesuatu lapangan terbang.
Ia disertai dengan majlis sambutan khas bersama Fukuoka International Airport Co., Ltd (FIAC) yang dihadiri Bakal Duta Besar Malaysia ke Jepun, Dato’ Ahmad Rozian Abd Ghani; Ketua Pegawai Strategi Kumpulan MAG, Low Wen Long; dan Presiden FIAC, Shinji Tagawa.
Penerbangan yang beroperasi sehingga lima kali seminggu itu menambah jumlah penerbangan Malaysia Airlines ke Jepun kepada 26 penerbangan seminggu merangkumi laluan Tokyo (Narita) dan Osaka, di samping memperkukuh kerjasama perkongsian perniagaan bersama dengan Japan Airlines menerusi aturan perkhidmatan kod kongsi.
Laluan ini turut menyokong kempen Tahun Melawat Malaysia 2026 dengan menyediakan satu lagi jaringan baharu buat pelancong antarabangsa. Sempena sambungan laluan ini, tawaran promosi MATTA Fair menyediakan penjimatan sehingga 30 peratus bagi tempahan yang dibuat sehingga 14 September 2026.
Akses Malaysia merupakan satu saluran pengetahuan dan informasi yang disediakan bagi membolehkan pembaca mendapatkankan info-info terkini dalam dan luar negara.

































