PUTRAJAYA, 23 September 2026 – Kerajaan MADANI menerusi Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama) bakal menganjurkan Persidangan Akademi Fiqh Islam Antarabangsa (IIFA) Kali Ke-27 yang dijangka berlangsung dari 16 hingga 20 November depan di Putrajaya.
Penganjuran dengan kerjasama IIFA itu bakal menghimpunkan ulama terkemuka, pakar akademik serta tokoh ilmuwan dari negara-negara anggota Pertubuhan Kerjasama Islam (OIC).
Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), YB Senator Dr. Zulkifli Hasan, berkata persidangan bertemakan “Memperkasakan Kesejahteraan Masyarakat dan Memajukan Nilai MADANI” itu mencerminkan komitmen negara dalam memajukan wacana intelektual Islam di peringkat global.
Antara topik utama yang akan dibincangkan merangkumi isu kecerdasan buatan (AI), penyuntingan genetik dan teknologi DNA, produk halal, etika perubatan, kewangan sosial Islam, serta cabaran komunikasi dan media era digital berasaskan prinsip Maqasid Syariah, Ijtihad Jama‘i dan Wasatiyyah.
Di samping itu, persidangan berkenaan turut memberi penekanan kepada Fiqh Ta‘ayush (fiqh hidup bersama secara damai) bagi memupuk keharmonisan dalam masyarakat berbilang budaya di Malaysia serta membendung dakyah ekstremisme.
“Persidangan ini bukan sekadar perhimpunan antarabangsa, malah merupakan satu pelaburan untuk masa depan ilmu dan ummah. Malaysia berhasrat untuk menjadi pusat pertemuan ilmu dan kepakaran bagi menghasilkan penyelesaian yang bermakna buat kemanusiaan,” kata beliau.
Akses Malaysia merupakan satu saluran pengetahuan dan informasi yang disediakan bagi membolehkan pembaca mendapatkankan info-info terkini dalam dan luar negara.

































