KUALA LUMPUR, 25 Nov 2025 – Menteri Digital, Gobind Singh Deo hari ini menggesa perniagaan Malaysia untuk segera mengubah model operasi mereka menjadi organisasi berpusatkan kecerdasan buatan (AI) dalam tempoh 60 bulan akan datang, sambil menegaskan bahawa negara kini memasuki tempoh penentuan bagi transformasi digital.
Bercakap di Sidang Kemuncak Kepimpinan PIKOM (LEAD 2025), Gobind menekankan bahawa peralihan ke arah operasi berasaskan AI kini bukan lagi satu pilihan, tetapi satu kemestian bagi pihak industri dan kerajaan untuk memastikan Malaysia tidak ketinggalan di belakang pesaing global.
Beliau menjelaskan bahawa tempoh lima tahun akan datang menentukan sama ada Malaysia mampu membina infrastruktur, sistem data, dan bakat yang diperlukan untuk bersaing. Walaupun ketersambungan internet hari ini telah bertambah baik, namun kelemahan dalam kualiti data, pendigitalan, dan kapasiti pengkomputeran masih menjadi penghalang utama.
“Seperti yang dinyatakan oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim, visi AI Nation 2030 menetapkan hala tuju nasional yang berani dan memberi isyarat bahawa Malaysia mesti bersedia untuk era yang jauh lebih kompleks daripada agenda negara pintar yang bersifat lebih tradisional.
“Kita mesti bertanya kepada diri sendiri sama ada kita mempunyai asas untuk beralih kepada apa yang dunia harapkan daripada kita dalam tempoh 60 bulan ini. Perbincangan mengenai transformasi adalah penting, tetapi tanpa infrastruktur yang dipercayai, data yang didigitalkan dan kuasa pengkomputeran, kita tidak akan dapat bertindak,” katanya.
Bagi menyokong ekosistem ini, kerajaan sedang mempercepatkan pembangunan komponen struktur termasuk penubuhan Suruhanjaya Data, pelaksanaan Akta Perkongsian Data, dan pengukuhan keselamatan siber di bawah Akta Keselamatan Siber.
Bagaimanapun, Gobind mengingatkan bahawa tindakan kerajaan semata-mata tidak memadai. Beliau menyeru pemimpin industri untuk mengenal pasti kekurangan operasi mereka sendiri, termasuk kekurangan penganalisis data dan bakat sedia AI.
“Pesaing anda sudah memikirkan perkara ini. Jika mereka berjaya dahulu, amat sukar untuk anda mengejar semula,” tegas beliau.
Dalam majlis yang sama, Gobind turut mengumumkan bahawa Kementerian Digital bakal memperkenalkan Inisiatif Inovasi Kerajaan Madani. Mekanisme baharu ini membolehkan kementerian dan agensi kerajaan menerbitkan penyataan masalah sebenar (real problem statements) untuk diselesaikan oleh pihak industri.
“Melalui inisiatif ini, kementerian akan dapat membentangkan cabaran mereka secara terbuka dan menjemput industri untuk menawarkan penyelesaian. Inilah cara kami kotakan apa yang dikata (walk the talk). Ia menunjukkan kerajaan bersedia bekerjasama dengan industri untuk memberikan perubahan yang lebih baik,” katanya.
Pengerusi PIKOM, Alex Liew menyambut baik pengumuman tersebut dan menyifatkan inisiatif itu sebagai jambatan praktikal antara dasar dan pelaksanaan.
“Apabila kerajaan menerbitkan penyataan masalah sebenar dan menjemput industri untuk bertindak balas, ia mewujudkan jambatan praktikal antara dasar dan pelaksanaan. Inilah caranya kita membina penyelesaian yang memberi impak,” kata Alex.
Sidang kemuncak tersebut menghimpunkan pemimpin daripada kerajaan, industri, dan ahli akademik bagi membentuk era pertumbuhan digital dan rentas sempadan Malaysia yang seterusnya.
Akses Malaysia merupakan satu saluran pengetahuan dan informasi yang disediakan bagi membolehkan pembaca mendapatkankan info-info terkini dalam dan luar negara.














































