PUTRAJAYA, 3 November 2026 – Malaysia mempergiatkan komitmen berterusan dalam memajukan agenda transformasi air negara menerusi pengintegrasian sains ekohidrologi, teknologi dan Penyelesaian Berasaskan Alam Semulajadi (Nature-Based Solutions – NbS).
Inisiatif berkenaan penting bagi memastikan sistem pengurusan air negara menjadi lebih mampan dan berdaya tahan dalam mendepani cabaran perubahan iklim serta pembandaran yang pesat.
Timbalan Perdana Menteri merangkap Menteri Peralihan Tenaga dan Transformasi Air (PETRA), Datuk Amar Haji Fadillah Haji Yusof, berkata pendekatan ini menekankan kepentingan menggabungkan infrastruktur kejuruteraan dengan fungsi ekosistem semula jadi, alatan digital serta kerjasama keseluruhan masyarakat.
“Usaha ini bukan sahaja meningkatkan kesihatan ekosistem malah menyokong kelestarian alam sekitar jangka panjang dan produktiviti ekonomi negara,” katanya ketika merasmikan Persidangan Antarabangsa Ekohidrologi dan Ketahanan Air Ke-1 (ICEWR 2026) bertemakan Ketahanan Air dan Ekohidrologi: Memajukan Penyelesaian Berasaskan Alam Semulajadi bagi Kelestarian Sistem Air di Hotel Everly, Putrajaya, hari ini.
Persidangan dua hari anjuran Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS Malaysia) dan HTC Kuala Lumpur dengan kerjasama UNESCO, Universiti Tun Hussein Onn Malaysia (UTHM) serta rakan strategik lain itu menghimpunkan seramai 200 peserta merangkumi pembuat dasar, wakil industri, akademisi dan organisasi bukan kerajaan (NGO).
Datuk Amar Haji Fadillah Haji Yusof turut berkata bahawa ketahanan air perlu dianggap sebagai keutamaan strategik nasional dengan menonjolkan kepimpinan Malaysia menerusi tiga Tapak Demonstrasi Ekohidrologi UNESCO.
Tapak berkenaan merangkumi Tanah Basah Putrajaya (Putrajaya Wetlands), Projek Pengurusan Air Ribut Mampan di UTHM, dan Sistem Saliran Bio-Ekologi (BIOECODS) di Universiti Sains Malaysia (USM).
Sebuah ruang peribadi untuk merakam idea, berkongsi pengalaman dan mengabadikan hal-hal yang mencuri perhatian. Dikenali dengan nama pena Aidil Abdullah



































