PASAY CITY, 4 Nov 2026 – Malaysia mahu segala persetujuan dan usaha yang dirancang di peringkat ASEAN dilaksanakan dengan lebih berkesan supaya manfaatnya dapat dirasai oleh rakyat di seluruh rantau ini.
Perkara itu menjadi antara agenda utama Malaysia dalam Mesyuarat Ke-41 Jawatankuasa Pegawai Kanan bagi Komuniti Sosio-Budaya ASEAN (SOCA) yang berlangsung di Pasay City, Filipina hari ini.
Delegasi negara diketuai Ketua Setiausaha Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya (MOTAC), Dato’ Shaharuddin Abu Sohot, yang juga Ketua SOCA Malaysia.
Mesyuarat tersebut menganjurkan tema Navigating Our Future, Together (Mengharungi Masa Depan Bersama) bagi membincangkan usaha memperkukuh kerjasama antara negara anggota dalam menghadapi cabaran serantau, selaras dengan hala tuju Wawasan Komuniti ASEAN 2045.
Dalam mesyuarat berkenaan, Malaysia menggariskan empat perkara utama yang perlu diberi perhatian bagi memastikan pelaksanaan program dan inisiatif sosio-budaya ASEAN mencapai matlamat yang ditetapkan.
Antaranya ialah menambah baik kaedah pemantauan dan penilaian menerusi Kerangka Hasil Komuniti Sosio-Budaya ASEAN (ASCC) supaya kemajuan serta keberkesanan setiap inisiatif dapat diukur dengan lebih jelas.
Malaysia turut memberi perhatian kepada keperluan meningkatkan kerjasama antara pelbagai sektor dan institusi ASEAN bagi memastikan pelaksanaan program dapat diselaraskan dengan lebih baik.
Selain itu, keutamaan yang ditetapkan di peringkat ASEAN perlu mengambil kira dasar dan rancangan pembangunan negara anggota supaya usaha yang dijalankan seiring dengan keperluan masing-masing.
Malaysia juga menekankan kepentingan menyediakan sumber pembiayaan yang mampan bagi memastikan program sosio-budaya serantau dapat diteruskan dalam jangka panjang.
Berpandukan prinsip Malaysia MADANI, negara akan terus bekerjasama dengan negara anggota dan Sekretariat ASEAN untuk membangunkan komuniti serantau yang lebih berdaya tahan, inklusif serta bersedia menghadapi cabaran masa depan.
Kerjasama itu turut memberi tumpuan kepada usaha memastikan kemajuan dan pembangunan ASEAN dapat dinikmati bersama, termasuk oleh golongan masyarakat yang berisiko tercicir daripada arus pembangunan.
Turut serta dalam delegasi Malaysia ialah Setiausaha Bahagian Hubungan Antarabangsa (Kebudayaan) MOTAC, Tee Get Lien; Ketua Penolong Setiausaha bahagian itu, Mohd Zamzuri Ab Ghani; Kaunselor (Sosio-Budaya), Perwakilan Tetap Malaysia ke ASEAN, Khairiah Kamaruddin; dan Atase Pelancongan Kedutaan Besar Malaysia di Manila, Mohd Faizal Sharip.

Akses Malaysia menyediakan berita terkini di dalam Malaysia dan luar negeri termasuk maklumat tentang usaha-usaha kerajaan, korporat, institusi pengajian, kampus, isu-isu global, ekonomi, tren terkini, dan pelbagai lagi.


































