PUTRAJAYA, 11 Februari 2025 – Kerajaan Malaysia memperkenalkan pindaan terhadap Akta Komunikasi dan Multimedia 1998 [Akta 588] dalam usaha memperkukuh keselamatan dalam talian serta memastikan ekosistem digital yang lebih selamat untuk rakyat.
Menurut Kementerian Komunikasi, pindaan tersebut telah diwartakan pada 7 Februari lalu dan berkuat kuasa mulai hari ini.
“Pindaan ini bertujuan menyediakan ekosistem Internet yang lebih selamat dan lestari, selain memberi perlindungan lebih baik kepada pengguna, khususnya kanak-kanak dan keluarga,” menurut kenyataan kementerian itu pada Selasa.
Pengumuman tersebut dibuat sempena Hari Keselamatan Internet 2025, yang turut menyaksikan pelancaran Jelajah Kempen Keselamatan Dalam Talian oleh Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC).
Kempen itu akan dilaksanakan di lebih 10,000 sekolah serta universiti awam di seluruh negara bagi meningkatkan kesedaran mengenai keselamatan Internet. Antara fokus utama kempen termasuk larangan terhadap kanak-kanak di bawah usia 13 tahun daripada memiliki akaun media sosial tanpa pengawasan ibu bapa atau penjaga.
Selain itu, kempen tersebut juga bertujuan mendidik pengguna supaya lebih berwaspada terhadap ancaman siber seperti penipuan dalam talian (scam), buli siber dan jenayah pedofilia.
Tindakan kerajaan memperketat kawalan keselamatan siber dibuat susulan peningkatan kes jenayah dalam talian pada 2024, dengan sebanyak 36,368 kes dilaporkan, melibatkan kerugian lebih RM1.5 bilion.
Kerajaan menyeru rakyat Malaysia agar menyokong usaha yang dijalankan serta mengambil langkah sewajarnya bagi melindungi diri dan keluarga daripada ancaman siber.
Akses Malaysia merupakan satu saluran pengetahuan dan informasi yang disediakan bagi membolehkan pembaca mendapatkankan info-info terkini dalam dan luar negara.