SEPANG, 20 Februari 2026 – Ketibaan pelancong di pintu masuk utama negara disambut meriah dengan elemen kebudayaan tempatan bersempena perayaan Tahun Baru Cina dan kempen Tahun Melawat Malaysia 2026 (VM2026).
Menteri Pelancongan, Seni dan Budaya, Datuk Seri Tiong King Sing turun padang ke Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) Terminal 1 dan 2 bagi menyambut sendiri ketibaan pengunjung antarabangsa sambil mengedarkan cenderahati rasmi VM2026.
Langkah strategik Tourism Malaysia dengan kerjasama Malaysia Airports Holdings Berhad (MAHB) ini membuahkan hasil apabila pintu masuk utama negara merekodkan kemasukan pelawat yang luar biasa pada hari pertama sambutan perayaan tersebut.
Pada 17 Februari lalu, sebanyak 32 penerbangan membawa 8,840 penumpang mendarat di KLIA Terminal 1 dan 2 dalam tempoh waktu puncak, iaitu antara jam 7.00 pagi hingga 10.30 pagi.
Menurut kenyataan Tourism Malaysia, lonjakan statistik ketibaan ini adalah selaras dengan momentum kempen VM2026 yang sedang giat dipromosikan di seluruh dunia.
Bagi meninggalkan kesan positif dan pengalaman bermakna kepada pelawat, ruang ketibaan lapangan terbang dimeriahkan dengan persembahan tarian singa serta pameran pakaian tradisional pelbagai kaum.
Turut mencuri tumpuan pelancong adalah penampilan khas maskot rasmi VM2026, Wira dan Manja, yang memperagakan busana bertemakan perayaan bagi sesi bergambar interaktif.
“Inisiatif di pintu masuk antarabangsa ini memainkan peranan penting dalam meninggalkan kesan positif kepada pelawat dan menggalakkan kunjungan berulang, sekali gus menyokong pertumbuhan mampan jangka panjang sektor pelancongan negara,” jelas Tourism Malaysia.
Akses Malaysia merupakan satu saluran pengetahuan dan informasi yang disediakan bagi membolehkan pembaca mendapatkankan info-info terkini dalam dan luar negara.














































