KUALA LUMPUR, 5 Ogos 2026 – Tourism Malaysia hari ini menyambut ketibaan penerbangan sulung syarikat penerbangan kebangsaan Arab Saudi, Riyadh Air, di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) dari Riyadh, sekali gus menandakan permulaan perkhidmatan penerbangan komersial pertama syarikat itu ke rantau Asia Tenggara.
Penerbangan tersebut telah berlepas dari Lapangan Terbang Antarabangsa King Khalid dan akan beroperasi secara tetap tiga kali seminggu iaitu pada setiap hari Selasa, Khamis dan Sabtu menggunakan pesawat Boeing 787-9 Dreamliner yang berkapasiti sehingga 290 penumpang.
Ketibaan penerbangan berkenaan disambut oleh Timbalan Setiausaha Agung (Pelancongan) Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya (MOTAC), Chua Choon Hwa, bersama Pengarah Kanan Bahagian Promosi Antarabangsa (Asia & Afrika) Tourism Malaysia, Nuwal Fadhilah Ku Azmi, serta wakil pengurusan tertinggi Riyadh Air dan Malaysia Airports Holdings Berhad (MAHB).
Ketua Pengarah Tourism Malaysia, Mohd Amirul Rizal Abdul Rahim, berkata ketibaan Riyadh Air melambangkan pencapaian penting bagi strategi pelancongan masuk ke negara ini.
“Pihak kami amat berbesar hati kerana Riyadh Air memilih Malaysia sebagai destinasi pertamanya di Asia Tenggara. Keputusan bersejarah ini mencerminkan hubungan dua hala yang kukuh serta keyakinan tinggi terhadap Malaysia sebagai destinasi bertaraf dunia,” kata beliau.
“Selain menyambut syarikat penerbangan baharu, kami menjalin kerjasama strategik bagi menyediakan perkhidmatan perjalanan premium secara lancar, sekali gus memenuhi permintaan pelancong Asia Barat agar Malaysia kekal sebagai destinasi pilihan utama,” kata beliau lagi.
Arab Saudi kekal sebagai pasaran sumber utama yang berpotensi tinggi bagi pelancongan Malaysia di Asia Barat berikutan kuasa membeli yang tinggi, tempoh penginapan lebih lama serta kecenderungan terhadap percutian mesra keluarga. Langkah memperluas jaringan penerbangan terus ini turut menyokong objektif Kempen Melawat Malaysia 2026 (VM2026) dalam meningkatkan ketersambungan udara antarabangsa serta merancakkan lagi sektor pelancongan, perdagangan dan pelaburan antara kedua-dua negara.
Akses Malaysia merupakan satu saluran pengetahuan dan informasi yang disediakan bagi membolehkan pembaca mendapatkankan info-info terkini dalam dan luar negara.














































