PUTRAJAYA, 1 Ogos 2022 — Malaysia secara dasarnya bersetuju untuk melaksanakan cukai minimum global sebanyak 15 peratus kepada sesetengah syarikat multinasional.
Demikian menurut Ketua Pegawai Eksekutif Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN) Datuk Mohd Nizom Sairi kepada pemberita selepas merasmikan Forum Polisi Cukai Malaysia ke-3, di sini hari ini.
Katanya, pelaksanaan sistem cukai itu adalah untuk memastikan entiti perniagaan membayar cukai secara adil di negara hos dan mengelak kebocoran cukai.
Menurut beliau, bagi memastikan firma multinasional membayar cukai yang sewajarnya, LHDN akan membangunkan strategi komprehensif untuk menangani risiko pematuhan cukai antarabangsa selain menggesa firma multinasional untuk lebih telus.
Mohd Nizom berkata Malaysia adalah antara 136 negara yang diumumkan Pertubuhan Kerjasama dan Pembangunan Ekonomi (OECD) sebelum ini sebagai negara yang sudah bersedia melakukan reformasi sistem percukaian antarabangsa itu.
Reformasi sistem percukaian antarabangsa itu dijangka dilaksanakan pada 2023 secara global dan Malaysia akan mematuhi ketetetapan yang diputuskan di peringkat OECD, kata beliau menurut laporan Bernama.
“Malaysia memang melibatkan diri secara aktif dalam the working group discussions untuk memastikan kepentingan negara dan ekonomi membangun seperti Malaysia tidak ketinggalan dalam penentuan dasar cukai oleh OECD,” katanya.
Kata beliau, LHDN juga sedang memantau syarikat multinasional yang beroperasi di Malaysia dan syarikat tempatan yang beroperasi di luar negara bagi mengenal pasti sama ada wujud elemen pemindahan harga.
Tambah beliau, di bawah Cawangan Cukai Multinasional LHDN, hampir 3,000 syarikat multinasional dalam pemantauan LHDN.
— Akses Malaysia