SERDANG, 18 Okt (Bernama) — Yang Berhormat Datuk Seri Haji Ahmad bin Hamzah, Timbalan Menteri Pertanian dan Industri Makanan I (MAFI) hari ini telah merasmikan Hari Inovasi MARDI 2022 dan melancarkan 5 produk Inovasi MARDI.
Hari Inovasi MARDI yang diadakan pada setiap tahun ini merupakan satu platform bagi warga MARDI mempersembahkan hasil kajian yang berinovatif selari dengan amanah dan tanggungjawab MARDI sebagai Institusi penyelidikan agromakanan utama Negara.
Dengan bertemakan “R&D Memperkasa Sekuriti Makanan”, tema berkenaan amat bertepatan dengan isu global masa kini yang dialami oleh seluruh dunia termasuklah Malaysia yang berhadapan dengan krisis pengeluaran makanan yang terjejas akibat daripada pemulihan pasca COVID-19, ditambah pula peperangan negara luar, perubahan cuaca yang semakin meruncing dan sebagainya.
Impaknya, sekuriti makanan dalam negara semakin terancam dan hal ini menjejaskan aktiviti serta rantaian bekalan makanan bagi industri pertanian dan makanan.
MARDI sentiasa menerapkan pendekatan-pendekatan baharu dalam penyelidikan bagi menghasilkan inovasi dah teknologi untuk sektor pertanian dan industri makanan. Fokus penyelidikan yang dijalankan adalah untuk menangani isu-isu berkaitan bagi mengurangkan kebergantungan import dan meningkatkan keupayaan pengeluaran dalam negara bagi menjamin sekuriti agromakanan negara.
Inovasi dan teknologi merupakan budaya kerja MARDI. Tradisi penganjuran Hari Inovasi MARDI ini telah dimulakan sejak tahun 2011 lagi. Budaya penyelidikan tidak terhad kepada pegawai kumpulan Pengurusan dan Profesional (P&P) sahaja. MARDI juga turut menyediakan ruang bagi kakitangan pelaksana supaya tidak ketinggalan dalam menengahkan idea, inovasi dan kreativiti masing-masing melalui acara Konvensyen Kumpulan Inovatif & Kreatif (KIK) dan pertandingan inovasi Akar Umbi MARDI (AUM).
Di majlis berkenaan, Datuk Seri Ahmad turut melancarkan 5 produk inovasi terbaru MARDI yang akan memberi manfaat kepada masyarakat dan juga kepada negara. Produk tersebut ialah :
i) Teknologi Floc Test untuk Pengesanan Penyakit Padi
ii) Teknologi Nano Formulasi untuk Penyakit Padi
iii) Slow-release energy bar – Bar Pembebasan Tenaga Berkala
iv) High-energy Candy – Kandi Bertenaga Tinggi dan
v) Recovery Sports Drink – Minuman Pemulihan Sukan
Majlis turut dihadiri YBhg Dato’ Haslina bt Abdul Hamid, Ketua Setiausaha MAFI, dan YBhg Dato’ Dr. Mohamad Zabawi bin Abdul Ghani, Ketua Pengarah MARDI.