SINGAPURA, 12 Januari 2026 – Marriott Bonvoy dan Majlis Kriket Antarabangsa (ICC) telah menandatangani kerjasama strategik berbilang tahun yang menyaksikan platform perjalanan anugerah Marriott International itu dilantik sebagai Rakan Penginapan Rasmi ICC sehingga tahun 2029.
Kerjasama ini bakal membuka peluang kepada lebih 260 juta ahli Marriott Bonvoy di seluruh dunia untuk menikmati akses eksklusif dan pengalaman sekali seumur hidup di kejohanan kriket terbesar dunia.
Perjanjian tersebut merangkumi kesemua acara lelaki ICC untuk empat tahun akan datang, bermula dengan Piala Dunia T20 Lelaki ICC 2026 di India dan Sri Lanka.
Ia turut meliputi Kejohanan Ujian Dunia ICC 2027 dan 2029 di United Kingdom, Piala Dunia Kriket Lelaki 2027 (Afrika Selatan, Zimbabwe, Namibia), Piala Dunia T20 Lelaki 2028 (Australia dan New Zealand), serta Trofi Juara-Juara ICC 2029 di India.
Presiden Asia Pasifik (tidak termasuk China) Marriott International, Rajeev Menon berkata, kerjasama ini membolehkan jenama itu memperdalam penglibatan di negara-negara yang mempunyai minat mendalam terhadap kriket seperti India, Australia, New Zealand, dan Sri Lanka.
“Kriket mempunyai kuasa untuk menyatukan peminat merentasi pelbagai negara. Kami kini membawa kehebatan Marriott Bonvoy kepada lebih dua bilion peminat dan menyampaikan pengalaman kriket yang direka khas untuk ahli kami.
“Dengan gabungan jejak lebih 450 hartanah di pasaran lokasi acara ICC berlangsung, Marriott berada pada kedudukan terbaik untuk menjadi tuan rumah kepada pasukan, peminat dan ahli yang mengembara untuk menyaksikan perlawanan,” katanya.
Sementara itu, Pengerusi ICC, Jay Shah menyifatkan perkongsian ini sebagai satu platform ampuh yang menggabungkan jangkauan global sukan kriket dengan portfolio destinasi bertaraf dunia Marriott.
“Penyertaan Marriott Bonvoy sebagai penaja memperkukuh visi jangka panjang ICC untuk bekerjasama dengan jenama global yang dihormati bagi memberikan nilai bermakna kepada peminat.
“Bersama-sama, kami akan mereka dan melancarkan tawaran hospitaliti baharu di venue terpilih acara ICC di seluruh dunia,” ujar beliau.
Marriott Bonvoy juga akan bekerjasama dengan ICC dalam menghasilkan kandungan berkaitan kriket yang unik serta melancarkan aktivasi tempatan untuk meningkatkan penglibatan ahli.
Akses Malaysia merupakan satu saluran pengetahuan dan informasi yang disediakan bagi membolehkan pembaca mendapatkankan info-info terkini dalam dan luar negara.














































