KUALA LUMPUR, 13 Mac 2026 — Persatuan Ejen-Ejen Pelancongan dan Pengembaraan Malaysia (MATTA) secara rasmi meletakkan Johor sebagai Destinasi Pilihan Malaysia sempena pameran pelancongan MATTA Fair yang akan berlangsung dari 3 hingga 5 April 2026 di Pusat Pameran dan Perdagangan Antarabangsa Malaysia (MITEC).
Pameran berskala besar kali ini meliputi ruang seluas 40,820 meter persegi merentasi 10 dewan pameran. Acara ini bakal menghimpunkan 330 organisasi dengan 2,043 ruang pameran yang terdiri daripada agensi pelancongan, wakil pelancongan negeri dan antarabangsa, rangkaian hotel, pusat peranginan, serta taman tema.
Pemilihan Johor dilihat sejajar dengan kedudukan strategiknya sebagai pintu masuk antarabangsa yang utama, khususnya dari negara jiran. Berdasarkan rekod Jabatan Imigresen Negeri Johor, negeri itu mencatatkan kemasukan 25 juta pelawat asing pada tahun 2025, dan merekodkan 1.91 juta pelawat setakat Januari tahun ini dengan 78 peratus daripadanya adalah rakyat Singapura.
Presiden MATTA, Nigel Wong berkata kerjasama tersebut merupakan satu langkah yang tepat pada masanya memandangkan Johor sentiasa mempunyai kedudukan istimewa dalam peta pelancongan negara.
Beliau menjelaskan bahawa kebelakangan ini, terdapat peningkatan minat yang amat ketara dalam kalangan pelancong domestik dan antarabangsa untuk meneroka semula pelbagai tawaran produk pelancongan negeri selatan tanah air itu.
Dalam pada itu, Pengarah Tourism Johor, Mohammad Nazrul Abd Rahim menyifatkan pengiktirafan berkenaan sebagai satu penghormatan yang tinggi, seterusnya menyokong kempen Tahun Melawat Johor 2026. Menurutnya lagi, pengiktirafan itu jelas mencerminkan minat pengembara yang semakin meningkat untuk merasai kepelbagaian tarikan sedia ada di negeri tersebut.
Sepanjang tiga hari pameran berlangsung, Pavilion Johor yang ditempatkan di Dewan Domestik akan mengetengahkan kekayaan budaya Bangsa Johor menerusi pelbagai persembahan tradisional dan tawaran pakej percutian eksklusif bernilai tinggi.
Negeri itu juga dijadualkan bakal memperkenalkan beberapa produk pelancongan dan tarikan baharu seperti Muzium Tokoh, Kompleks Warisan Sultan Abu Bakar, dan Kampung Sungai Melayu bagi merancakkan lagi sektor pelancongan berasaskan warisan, alam semula jadi serta komuniti.
MATTA Fair April 2026 menawarkan kemasukan secara percuma bermula dari jam 10 pagi hingga 9 malam. Bagi memudahkan pengunjung untuk bergerak dengan lebih lancar, pihak penganjur turut menyediakan perkhidmatan bas ulang-alik secara percuma dari KL Sentral dan pusat beli-belah Sunway Putra Mall, selain menyediakan ruang letak kereta yang pelbagai di sekitar bangunan MITEC.
Akses Malaysia merupakan satu saluran pengetahuan dan informasi yang disediakan bagi membolehkan pembaca mendapatkankan info-info terkini dalam dan luar negara.














































