KUALA LUMPUR, 26 Mac 2026 — Persatuan Ejen-Ejen Pelancongan dan Pengembaraan Malaysia (MATTA) hari ini mengumumkan penyertaan semula Macao sebagai Destinasi Pilihan Antarabangsa bagi pameran MATTA Fair yang akan berlangsung dari 3 hingga 5 April 2026 di Pusat Pameran dan Perdagangan Antarabangsa Malaysia (MITEC).
Pameran pengguna terbesar di Malaysia edisi ke-58 ini akan menggunakan ruang pameran seluas 40,820 meter persegi merentasi 10 dewan di MITEC. Acara itu bakal menampilkan 2,043 gerai daripada 330 organisasi penyertaan, termasuk 210 agensi pelancongan yang menawarkan pelbagai pakej percutian menarik.
Selain itu, pengunjung juga berpeluang berinteraksi dengan enam Pertubuhan Pelancongan Kebangsaan (NTO), 11 Pertubuhan Pelancongan Negeri (STO), 63 rangkaian hotel dan pusat peranginan, 11 taman tema serta 28 penyedia perkhidmatan pelancongan yang lain.
Langkah menampilkan kembali Macao adalah sejajar dengan pemulihan kukuh sektor pelancongan antarabangsa wilayah berkenaan. Pada Januari 2026, Macao telah menyambut 3.65 juta ketibaan pelawat, mengekalkan momentum cemerlang tahun 2025.
Ketibaan antarabangsa ke wilayah itu mencatatkan 278,000 pelawat yang mewakili peningkatan tahunan sebanyak 15.5 peratus, dengan ketibaan pelancong Malaysia melonjak secara mendadak sebanyak 52.3 peratus. Kadar penginapan hotel di sana turut merekodkan tahap 91.6 peratus, sekali gus membuktikan permintaan yang tinggi.
Naib Presiden Penyelidikan dan Teknologi MATTA, Mohd Hizzat Mohd Shah berkata, rakyat Malaysia secara semula jadinya sukakan pengembaraan, maka sektor pelancongan keluar negara kekal sebagai komponen penting dalam ekosistem industri.
“Menyambut kepulangan Macao sebagai Destinasi Pilihan Antarabangsa di MATTA Fair mencerminkan minat rakyat Malaysia yang semakin meningkat untuk meneroka semula destinasi bertaraf dunia yang menawarkan kebudayaan, hiburan, gastronomi dan pengalaman unik,” katanya.
Dalam masa yang sama, Malaysia turut mengunjurkan ketibaan 44 hingga 45 juta pelancong antarabangsa bagi menyokong sasaran 47 juta pelawat di bawah kempen Tahun Melawat Malaysia 2026 (VM2026).
Sementara itu, Timbalan Pengarah Pejabat Pelancongan Kerajaan Macao, Cheng Wai Tong menyifatkan pengiktirafan tahun kedua berturut-turut itu sebagai satu peluang keemasan untuk memacu aliran pelawat dari Malaysia yang merupakan antara pasaran keutamaan mereka di Asia Tenggara.
Pameran MATTA Fair ini menawarkan kemasukan percuma kepada orang awam bermula jam 10 pagi hingga 9 malam. Bagi memudahkan pengunjung, perkhidmatan bas ulang-alik percuma disediakan dari KL Sentral dan pusat beli-belah Sunway Putra Mall ke bangunan MITEC, selain penyediaan pelbagai fasiliti tempat letak kereta di kawasan sekitar.
Akses Malaysia merupakan satu saluran pengetahuan dan informasi yang disediakan bagi membolehkan pembaca mendapatkankan info-info terkini dalam dan luar negara.














































