CYBERJAYA, 21 Julai 2026 – Perbadanan Ekonomi Digital Malaysia (MDEC) mengambil maklum keputusan Majlis Bandaraya Iskandar Puteri (MBIP) yang membatalkan lesen perniagaan syarikat NSO Malaysia Sdn. Bhd. (NSO), iaitu pengendali bagi sekolah teknologi Network School di Forest City, Johor.
Langkah drastik oleh MBIP tersebut dilaporkan berpunca daripada pengoperasian premis tanpa kelulusan lesen perniagaan tempatan yang sah, selain penganjuran aktiviti serta program yang didakwa tidak selari dengan skop kelulusan asal yang dibenarkan oleh pihak berkuasa tempatan (PBT).
Syarat-syarat yang ditetapkan bagi pegangan status Malaysia Digital (MD) memerlukan sesebuah syarikat untuk memperoleh permit dan lesen yang berkaitan bagi menjalankan aktiviti yang diluluskan, selain mematuhi semua undang-undang serta syarat pelesenan yang terpakai. Pembatalan lesen perniagaan NSO oleh MBIP secara langsung telah melanggar syarat-syarat utama kekal berstatus MD.
Ekoran pelanggaran syarat berkenaan, MDEC kini mengambil langkah serta-merta untuk membatalkan status MD yang pernah diberikan kepada syarikat NSO. Pembatalan ini sekali gus menyebabkannya kehilangan pelbagai keistimewaan insentif digital, termasuk pengecualian cukai, fleksibiliti pengambilan bakat asing, serta kemudahan kawal selia yang ditawarkan di bawah MDEC.
MDEC dalam kenyataannya menegaskan bahawa pihak perbadanan sentiasa mengalu-alukan pelaburan digital yang berkualiti ke dalam negara—terutamanya bagi menyokong pembangunan Zon Kewangan Khas (SFZ) Forest City. Namun, ia mesti dilaksanakan secara pematuhan penuh tanpa sebarang kompromi terhadap undang-undang, peraturan PBT, serta garis panduan keselamatan yang berkuat kuasa di Malaysia.
Akses Malaysia merupakan satu saluran pengetahuan dan informasi yang disediakan bagi membolehkan pembaca mendapatkankan info-info terkini dalam dan luar negara.














































