Dalam usaha memperkukuh disiplin sejarah di Malaysia, kebergantungan terhadap sumber bertulis seperti dokumen rasmi, surat, akhbar lama dan catatan pentadbiran telah lama menjadi tunjang utama bagi dapatan sumber sejarah. Namun demikian, dalam beberapa dekad terakhir, sumber lisan semakin mendapat tempat sebagai satu dimensi penting dalam usaha merakam sejarah yang lebih inklusif dan berjiwa rakyat. Sumber lisan bukan sahaja mengisi kekosongan dalam rekod bertulis, malah memperkaya naratif sejarah dengan pengalaman individu yang tidak tercatat dalam dokumen rasmi.
Sumber lisan merangkumi wawancara, testimoni, cerita rakyat dan pengalaman peribadi yang dituturkan oleh individu atau komuniti. Ia memberi ruang kepada suara mereka yang selama ini terpinggir seperti golongan buruh, wanita, warga emas, mahupun minoriti etnik, yang mana pengalaman hidup mereka sebenarnya mencerminkan realiti sejarah tetapi tidak didokumentasikan.
Dalam konteks Malaysia, kajian sejarah tertentu seperti sejarah kemerdekaan, perjuangan menentang penjajahan, pengalaman zaman darurat, migrasi, atau pembentukan identiti sesebuah komuniti tidak terlepas daripada bergantung dengan sumber lisan bagi mendapatkan gambaran menyeluruh mengenai sesuatu peristiwa tersebut. Justeru, melalui temubual dan rakaman pengalaman mereka, ahli sejarah mampu menyusun semula dan menganalisis sesuatu kajian itu dari perspektif yang berbeza daripada golongan tertentu.
Namun, penggunaan sumber lisan tidak terlepas daripada cabarannya yang tersendiri. Ketepatan memori, pengaruh emosi, dan kecenderungan kepada naratif peribadi menuntut kaedah ilmiah yang teliti dalam proses pengumpulan dan analisis data tersebut. Dokumentasi secara sistematik, pemadanan dengan sumber bertulis, serta pemahaman terhadap latar sosial dan budaya pencerita adalah amat penting. Kegagalan mendokumentasi kisah-kisah ini secara formal akan menyebabkan warisan lisan pupus, terutamanya dalam kalangan generasi tua sebagai saksi bagi perkara atau peristiwa berkaitan yang semakin berkurang.
Begitu juga dengan pelaksanaan sejarah lisan, pematuhan kepada prinsip etika merupakan satu keperluan yang tidak boleh dikompromi. Para penemu duga perlu memastikan bahawa pencerita memberikan persetujuan secara sedar (informed consent) sebelum sesi bermula, serta difahamkan tujuan, penggunaan, dan penyimpanan maklumat yang akan dikongsi. Ini termasuk menghormati hak privasi pencerita, tidak memaksa pengakuan terhadap isu yang sensitif, dan memberikan pilihan kepada pencerita untuk menarik diri pada bila-bila masa. Selain itu, sensitiviti budaya, bahasa, dan latar belakang sosialjuga perlu dijaga bagi menjamin kelancaran komunikasi dan membina kepercayaan antara penemu duga dan pencerita. Pendekatan ini bukan sahaja melindungi maruah pencerita, tetapi turut memperkukuh integriti dan kebolehpercayaan dapatan sejarah yang direkodkan.
Berbekalkan kesedaran tersebut, pada 16 Mei 2025, sekumpulan pelajar dari Jabatan Sejarah Universiti Malaya telah mengadakan projek “Menyelami Sejarah dari Hati: Cerita Emas dari Rumah Orang Tua”. Projek ini yang dilaksanakan di Rumah Jagaan Love & Care, Kajang pada 16 Mei lalu, telah melibatkan seramai 21 orang mahasiswa Tahun 1 yang menjalankan sesi wawancara dengan 10 orang warga emas yang merupakan penghuni rumah tersebut.
Projek ini yang diketuai oleh Tan Jia Jie, merupakan sebahagian daripada inisiatif SULAM (Service Learning Malaysia – University for Society) yang menggabungkan pembelajaran akademik dengan penglibatan komuniti didapati telah dapat memberikan pengalaman dan nilai tambah kepada pelajar seawal pengajian mereka di universiti. Ini kerana di samping dapat berkomunikasi dengan masyarakat, mereka juga dapat mempelajari kaedah berorganisasi serta kepimpinan yang baik serta dapat mempraktikkan pembelajaran khususnya berkenaan dengan kaedah dan sumber sejarah.
Yagulesh a/l Jayachandran, 21, Timbalan Setiausaha projek dan salah seorang penemu duga bagi projek tersebut, menyatakan bahawa cerita warga emas ini telah memberi impak yang mendalam terhadap dirinya di samping menjadi suatu latihan bagi pelajar dalam mendapatkan data daripada sumber sejarah lisan. Projek ini diharapkan dapat meningkatkan kesedaran tentang kepentingan konsep “Sejarah dari Bawah” yang membawa perspektif yang baharu dalam penyelidikan sejarah, dan mewakili golongan yang jarang diketengahkan dalam masyarakat, seperti penghuni rumah orang tua.
Dr. Siti Nor Aisyah Ngadiran adalah Pensyarah Kanan merangkap Penyelaras SULAM (Service Learning Malaysia – University for Society) di Jabatan Sejarah, Fakulti Sastera dan Sains Sosial, Universiti Malaya. Bidang kepakaran penulis adalah merangkumi sejarah sosial, kolonial dan historiografi.










































