DAVOS, Switzerland, 25 Januari 2026 – Sektor pelancongan tidak lagi wajar dilihat sebagai industri sampingan atau sekadar riadah, sebaliknya perlu diuruskan sebagai satu bentuk ‘infrastruktur ekonomi’ yang strategik bagi memacu pertumbuhan dan daya tahan global.
Mesej tegas itu disampaikan oleh Menteri Pelancongan Arab Saudi, Tuan Yang Terutama Ahmed Al-Khateeb semasa berucap pada Mesyuarat Tahunan Forum Ekonomi Dunia (WEF) 2026 di sini, semalam.
Menurut beliau, dengan anggaran ketibaan pelancong antarabangsa mencecah 2 bilion orang menjelang 2030, persoalan utama bukan lagi sama ada industri ini akan berkembang, tetapi bagaimana ia dapat diperluaskan secara bertanggungjawab.
“Apabila pelancongan direka bentuk sebagai infrastruktur ekonomi, sosial dan budaya, ia menjadi enjin ampuh untuk diversifikasi ekonomi dan nilai jangka panjang, bukan sekadar pergerakan merentas sempadan,” katanya.
Mengambil contoh kejayaan Visi Saudi 2030, Ahmed mendedahkan bahawa kerajaan itu telah merekodkan kemasukan 30 juta pelawat pada tahun 2025, dan kini menyasarkan angka 150 juta pelawat menjelang 2030.
Sektor pelancongan kini menyumbang hampir 5 peratus kepada Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) langsung Arab Saudi dan menyediakan peluang pekerjaan kepada lebih 1 juta orang.
Dalam pada itu, beliau turut memperkenalkan inisiatif ‘Beyond Tourism’ dan platform global TOURISE, yang bertujuan mengangkat agenda pelancongan daripada perbincangan industri semata-mata kepada agenda kepimpinan peringkat sistem yang melibatkan dasar, modal dan inovasi.
Menyentuh mengenai tanggungjawab global, Ahmed menyeru kerajaan dan institusi antarabangsa untuk membantu negara-negara membangun, khususnya di Afrika dan Amerika Latin, untuk membina sektor pelancongan mereka sendiri.
“Terdapat 80 peratus negara lain di seluruh dunia yang tidak mendapat pelancong yang mencukupi. Kami mahu mengukuhkan hubungan dengan tempat-tempat ini demi manfaat global.
“Pelancongan membantu mengekalkan dialog apabila saluran rasmi menghadapi tekanan. Ia membina persefahaman, kepercayaan dan hubungan,” tambah beliau.
Delegasi Arab Saudi di Davos turut menganjurkan lebih 20 sesi perbincangan di ‘Saudi House’ bagi mempromosikan kestabilan dan kemakmuran global menerusi pelancongan.
Akses Malaysia merupakan satu saluran pengetahuan dan informasi yang disediakan bagi membolehkan pembaca mendapatkankan info-info terkini dalam dan luar negara.













































