KUALA LUMPUR – Kugiran indie legenda tanah air, Hujan, bakal meraikan ulang tahun ke-20 perjuangan seni mereka menerusi penganjuran konsert berskala besar yang dinamakan “HUJAN XX : #HUJAN20TAHUN” pada 27 Jun 2026 bertempat di Stadium Hoki Nasional Bukit Jalil, Kuala Lumpur jam 8:30 malam.
Konsert anjuran ICON Entertainment ini menelusuri rentetan perjalanan Hujan sejak mula bertapak pada tahun 2005. Kehadiran kugiran yang diterajui oleh Noh Salleh dan AG Coco ini pernah merobohkan tembok dominasi muzik pop tempatan sewaktu kemunculan album pertama mereka pada 2007, sekali gus mencetuskan gelombang genre indie rock alternatif di rantau Nusantara.

Mengulas mengenai penganjuran pesta muzik ini, pengasas ICON Entertainment, Iman Tang, menyifatkan Hujan sebagai ikon generasi kini yang berani melawan arus.
“Hujan sepatutnya telah dirayakan sekian lama tetapi menanti sehingga 20 tahun untuk menganjurkan sebuah pesta besar buat kugiran ini sebagai tanda penghargaan terhadap karya luar biasa yang pernah dilahirkan.
“Hujan adalah ikon muzik generasi kini dan menganjurkan HUJAN XX : #HUJAN20TAHUN adalah sebuah apresiasi khas buat Hujan dengan revolusi empayar mereka yang gila,” ujar Iman. Beliau turut optimis konsert ini akan dihujani peminat dari seluruh pelosok Malaysia, Singapura, Brunei, dan Indonesia.
Bagi pihak Hujan, konsert ini melangkaui sekadar sambutan ulang tahun mereka sendiri; ia adalah platform untuk meraikan rakan seperjuangan dalam arena muzik bebas (indie) serta tanda terima kasih buat para peminat setia yang digelar Raingers.
Pemain gitar Hujan, AG Coco, menegaskan bahawa indie suatu ketika dahulu dianggap asing dan berdepan cabaran hebat untuk menembusi pasaran komersial sedia ada.

“HUJAN XX : #HUJAN20TAHUN bukan tentang Hujan tetapi tentang hasrat kami merayakan pejuang kugiran indie. Hujan secara rasmi dan berbesar hati mengundang Raingers atau penikmat muzik umumnya untuk mencipta satu sejarah. Kita akan berpesta lebih 40 lagu dari katalog arkib Hujan,” kata AG mewakili kumpulannya.
Sejajar dengan tema menyokong industri tempatan, penganjur menggalakkan para penonton hadir memakai baju bertemakan kugiran atau jenama fesyen lokal (#supportlocal).
Peminat yang ingin merasai kehangatan ‘Empayar’ Hujan boleh mendapatkan tiket yang akan mula dijual pada 10 April 2026 bermula jam 3 petang menerusi platform dalam talian, Ticket2u. Harga tiket ditawarkan mengikut kategori iaitu RM158 (SANG ENEMY), RM188 (123 GO), RM208 (MENCARI KONKLUSI), RM228 (LONELY SOLDIER BOY), RM248 (ABCDEFGHUJAN), dan RM268 (CHECKCHECK ROCKROCK).
Akses Malaysia merupakan satu saluran pengetahuan dan informasi yang disediakan bagi membolehkan pembaca mendapatkankan info-info terkini dalam dan luar negara.














































