KUALA LUMPUR, 27 Oktober 2026 – Mesyuarat Menteri-Menteri dan Ahli-Ahli Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri yang Bertanggungjawab Mengenai Sains, Teknologi dan Inovasi (MEXCO-STI) Bilangan 2 Tahun 2026 diadakan di Agensi Angkasa Malaysia (MYSA) bagi menyelaraskan dasar dan hala tuju Sains, Teknologi dan Inovasi (STI) merentas peringkat Persekutuan dan Negeri.
Mesyuarat berkenaan dipengerusikan oleh Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi (MOSTI), Datuk Chang Lih Kang.
MEXCO-STI bertindak sebagai platform strategik bagi merapatkan jurang, mengukuhkan ekosistem STI semasa, serta memastikan agenda kemajuan teknologi negara dapat diterjemahkan secara nyata demi kesejahteraan rakyat di peringkat akar umbi.
Datuk Chang Lih Kang berkata kerjasama erat antara Kerajaan Persekutuan dan Kerajaan Negeri merupakan kunci utama untuk menangani cabaran semasa ekosistem STI negara.
“Kerjasama erat Kerajaan Persekutuan dan Kerajaan Negeri adalah kunci utama bagi menangani cabaran semasa ekosistem STI negara serta memastikan pembangunan dan aplikasi teknologi dapat dimanfaatkan oleh seluruh lapisan masyarakat sejajar dengan hasrat Dasar Sains, Teknologi dan Inovasi Negara 2021-2030,” katanya.
Antara fokus utama mesyuarat merangkumi inisiatif Yayasan Inovasi Malaysia (YIM) bagi menghadapi cabaran Malaysia yang dijangka beralih status sebagai negara menua menjelang 2048 menerusi pemerkasaan warga usia emas, pembentukan perniagaan berteknologi tinggi, serta komersialisasi Pengetahuan Tradisional (Traditional Knowledge).
Pada masa yang sama, mesyuarat berkenaan turut membincangkan Program Penjanaan Pendapatan Nelayan Melalui Ekonomi Kitaran kendalian Bioeconomy Corporation (BEC) menjelang 2027 merangkumi kira-kira 30 lokasi di Semenanjung Malaysia, selain pembentangan tujuh Inisiatif Kebangsaan Berorientasikan Misi (MOI) oleh Akademi Sains Malaysia (ASM).
Sementara itu, Kerajaan Sarawak melalui Kementerian Pendidikan, Inovasi dan Pembangunan Bakat (MEITD) turut berkongsi pencapaian pasukan robotik negeri di peringkat antarabangsa serta penganjuran World Robot Olympiad (WRO) Open Championship 2027.
Sebuah ruang peribadi untuk merakam idea, berkongsi pengalaman dan mengabadikan hal-hal yang mencuri perhatian. Dikenali dengan nama pena Aidil Abdullah



































