KUALA LUMPUR, 10 Mac 2026 – Pameran Perabot Antarabangsa Malaysia (MIFF) telah mengiktiraf bakat pereka perabot muda dan penggiat industri negara menerusi majlis Anugerah MIFF 2026 yang berlangsung di Pusat Pameran dan Perdagangan Antarabangsa Malaysia (MITEC) pada 6 Mac lalu.
Anugerah tersebut merangkumi Pertandingan Reka Bentuk Perabot MIFF (MIFF FDC), Anugerah Persembahan Terbaik (BPA) dan Anugerah Kecemerlangan Perabot (FEA).
Majlis penyampaian anugerah itu disempurnakan oleh Timbalan Ketua Setiausaha Kementerian Perladangan dan Komoditi, Datuk Razali Mohamad serta dihadiri oleh wakil industri dari dalam dan luar negara.
Bagi kategori utama MIFF FDC 2026 yang bertemakan perabot bilik tidur kanak-kanak, pelajar Universiti Teknologi dan Inovasi Asia Pasifik (APU), Jessica Antonius dinobatkan sebagai juara menerusi rekaan bertajuk ROEL, sekali gus membawa pulang hadiah wang tunai RM5,000. Tempat kedua dimenangi oleh Doo Jade Qi dari Institut Seni Lukis Malaysia, manakala Teh Jian Yin dari The One Academy Pulau Pinang meraih tempat ketiga.
Dalam pada itu, Anugerah Mentor Terbaik dimenangi oleh pensyarah APU, Ooi Aik Khong, manakala universiti berkenaan turut mengekalkan gelaran Anugerah Institusi Terbaik bagi tahun kedua berturut-turut.
Bagi kategori pempamer pula, syarikat Chuanheng Furniture Products Sdn Bhd merangkul Anugerah Persembahan Terbaik, sementara Eastern Decorator Sdn Bhd memenangi Anugerah Platinum untuk Anugerah Kecemerlangan Perabot.
Pengurus Besar MIFF, Kelie Lim berkata, penganjuran anugerah tersebut merupakan petunjuk positif bagi industri perabot negara dalam melahirkan barisan pereka yang komited terhadap inovasi reka bentuk.
“MIFF telah berada di barisan hadapan dalam memastikan pertumbuhan perabot Malaysia yang lestari selama lebih 30 tahun, dan kami akan terus memupuk lebih ramai bakat baharu untuk memastikan tidak ketandusan pereka luar biasa yang berani untuk membayangkan masa depan industri yang lebih cerah,” kata beliau lagi.
Secara keseluruhan, pameran MIFF 2026 yang berlangsung dari 4 hingga 7 Mac itu diadakan di dua lokasi utama iaitu MITEC dan Pusat Dagangan Dunia Kuala Lumpur (WTCKL). Acara perdagangan tersebut berjaya menghimpunkan hampir 700 pempamer dan 20,000 pembeli dari 140 buah negara.
Akses Malaysia merupakan satu saluran pengetahuan dan informasi yang disediakan bagi membolehkan pembaca mendapatkankan info-info terkini dalam dan luar negara.














































