Kuching, 11 Julai 2026 — Tourism Malaysia dengan kerjasama Cats FM telah menganjurkan Miss SHOPhia Shopping Hunt 2026 sebagai satu inisiatif kreatif bagi mempromosikan pelancongan domestik serta merancakkan segmen beli-belah di Sarawak. Program ini turut dianjurkan bersempena dengan Kempen Jualan Nasional ‘Malaysia Mega Sale’ yang berlangsung bermula 15 Jun hingga 31 Julai 2026.
Program ini telah disempurnakan oleh Puan Zuraini Abdul Ghani, Pengarah Bahagian Pembangunan Pakej, Tourism Malaysia dengan penyertaan oleh 15 kumpulan yang terdiri daripada penyampai radio dan pendengar Cats FM, wakil media serta pempengaruh media sosial. Objektif utama shopping hunt ini adalah untuk memberikan pengalaman membeli-belah dan penerokaan destinasi kepada para peserta dengan melengkapkan pelbagai misi di pusat beli-belah dan lokasi tarikan pelancong di sekitar Bandaraya Kuching termasuklah Brooke Dockyard Industrial Heritage Museum, Plaza Merdeka, AEON Mall Kuching Central, India Street, dan Pangkalan Sapi.
Penganjuran program ini adalah sejajar dengan Kempen Jualan Nasional yang dilaksanakan tiga (3) kali setahun iaitu ‘Malaysia Super Sale’, ‘Malaysia Mega Sale’ dan ‘Malaysia Year End Sale’ yang secara tidak langsung membantu meletakkan Malaysia sebagai destinasi beli-belah berbaloi (value-for-money) di peringkat global sekali gus meningkatkan perbelanjaan pelawat melalui aktiviti membeli-belah.
Sebagai tanda komitmen berterusan dalam memperkukuh kolaborasi strategik bersama rakan industri, program ini telah dijayakan dengan sokongan padu daripada beberapa rakan strategik termasuk Air Borneo, Borneo Empurau Farm & Resort, Gamuda Cove Water Theme Park, Grab, Greenery Borneo Travel, Hilton Kuching, Inter-Continental Travel Centre, Photobook, Pullman Kuching, Royal Kuching Cruise, Semadang Borneo Adventure, Sheraton Kuching, Spritzer, Vanzo Perfume, dan Zus Coffee. Sokongan daripada pihak swasta melalui kerjasama awam-swasta kekal penting dalam memastikan keberkesanan kempen ini serta menarik kehadiran pelawat domestik dan antarabangsa.
Selain itu, program ini turut menyokong objektif Kempen Melawat Malaysia 2026 (VM2026) dalam mengukuhkan promosi produk pelancongan dan pengalaman membelibelah negara. Penglibatan aktif media dan pempengaruh dijangka dapat memperluaskan capaian promosi serta meningkatkan minat orang ramai untuk menyertai aktiviti pelancongan dan membeli-belah.
Pada tahun 2025, sektor pelancongan domestik mencatatkan lonjakan positif sebanyak 21.3% dengan jumlah ketibaan pelawat 290.1 juta pelawat, berbanding 260.1 juta pada tahun 2024. Seiring dengan peningkatan itu, jumlah perbelanjaan pelancongan turut meningkat sebanyak 13.3% dengan meraih RM121.0 bilion pada tahun 2025, berbanding RM106.7 bilion yang direkodkan pada tahun 2024.
Tourism Malaysia kekal fokus dalam menggalakkan industri pelancongan negara melalui jalinan kerjasama strategik bersama rakan media seperti Cats FM dan rakan-rakan industri lain bagi program Miss SHOPhia Shopping Hunt 2026 ini. Inisiatif seperti ini mampu menonjolkan Malaysia sebagai destinasi pelancongan gaya hidup dan beli-belah yang unggul di rantau Asia. Usaha ini diharap bukan sahaja merancakkan sektor runcit negara, malah memberi limpahan manfaat ekonomi yang positif kepada komuniti setempat.
Akses Malaysia merupakan satu saluran pengetahuan dan informasi yang disediakan bagi membolehkan pembaca mendapatkankan info-info terkini dalam dan luar negara.














































