KUALA LUMPUR, 19 Okt 2022 — Perdagangan Malaysia terus mengekalkan trend peningkatan pada September 2022 apabila melonjak 31.4 peratus kepada RM256.91 bilion berbanding tempoh sama tahun lepas, menurut Kementerian Perdagangan Antarabangsa dan Industri (MITI).
MITI menyatakan prestasi itu merupakan bulan ke-20 berturut-turut mencatat pertumbuhan dua angka.
MITI juga menyatakan eksport bertambah sebanyak 30.1 peratus kepada RM144.31 bilion yang juga bulan ke-14 meraih pertumbuhan dua digit manakala import berkembang sebanyak 33.0 peratus kepada RM112.60 billion.
“Lebihan dagangan Malaysia turut mencatat rekod tertinggi baharu dengan meningkat sebanyak 20.9 peratus kepada RM31.71 bilion. Jumlah tersebut adalah nilai tertinggi bagi September,” kata MITI dalam satu kenyataan hari ini.
Menurut MITI, pertumbuhan eksport disumbangkan terutamanya oleh permintaan kukuh bagi barangan elektrik dan elektronik (E&E), keluaran petroleum, gas asli cecair (LNG), petroleum mentah, barangan optik dan saintifik serta jentera, kelengkapan dan peralatan.
Selain itu, eksport barangan E&E, barangan optik dan saintifik serta LNG mencatat nilai bulanan tertinggi setakat ini.
Eksport ke negara-negara rakan dagang utama khasnya ASEAN, Amerika Syarikat (AS), Kesatuan Eropah (EU) dan Jepun turut meraih pertumbuhan dua digit.
Malah, kata MITI, eksport ke Jepun mencatatkan nilai eksport bulanan tertinggi setakat ini.
Bagi perbandingan bulan ke bulan, MITI menyatakan eksport dan lebihan dagangan masing-masing meningkat 2.2 peratus dan 86.1 peratus manakala perdagangan dan import susut sebanyak 3.2 peratus dan 9.4 peratus.
Perdagangan bagi suku ketiga 2022 telah berkembang sebanyak 42.0 peratus kepada RM774.98 bilion berbanding tempoh sama tahun lepas.
“Eksport meningkat 38.3 peratus kepada RM419.65 bilion manakala import naik 46.5 peratus kepada RM355.32 bilion.
Ini merupakan nilai suku tahunan yang tertinggi bagi perdagangan, eksport dan import. Lebihan dagangan bertambah 5.6 peratus kepada RM64.33 bilion,” katanya.
Berbanding suku kedua 2022, segmen perdagangan, eksport, import dan lebihan dagangan masing-masing menokok sebanyak 6.1 peratus, 6.5 peratus, 5.7 peratus dan 10.8 peratus.
MITI berkata, bagi tempoh sembilan bulan pertama 2022, perdagangan menokok 32.9 peratus kepada RM2.130 trilion berbanding tempoh sama tahun lepas.
Eksport meningkat 30.3 peratus kepada RM1.159 trilion dan import berkembang 36.2 peratus kepada RM971.26 bilion.
“Lebihan dagangan berkembang 6.3 peratus kepada RM187.40 bilion. Perdagangan, eksport, import dan lebihan dagangan mencatatkan nilai tertinggi bagi tempoh ini,” kata MITI.
Bagi prestasi eksport mengikut sektor, MITI menyatakan eksport barangan perkilangan pada September 2022 mencecah nilai tertinggi sebanyak RM122.23 bilion atau 84.7 peratus daripada jumlah eksport yang juga meningkat 28.7 peratus tahun ke tahun.
“Ini merupakan pertumbuhan dua digit yang ke-14 bulan berturut-turut. Barangan E&E, keluaran petroleum, barangan optik dan saintifik serta jentera, kelengkapan dan peralatan masing-masing telah merekodkan kenaikan eksport melebihi RM1 bilion,” tambah MITI.
— Akses Malaysia