MELAKA, 24 Ogos 2022 — Yang Dipertua Negeri Melaka Tun Mohd Ali Rustam mencadangkan agar kerajaan negeri mempelbagaikan mod sistem pengangkutan awam di negeri itu dalam usaha menambah baik mutu perkhidmatan yang ditawarkan.
Penambahbaikan itu termasuk menaik taraf kemudahan berkenaan termasuk kepada golongan warga emas, ibu mengandung dan kanak-kanak, kata beliau.
Menurut beliau, Melaka, sebagai sebuah negeri pelancongan terus menjadi tumpuan pengunjung apabila negara beralih ke fasa endemic.
“Melalui pemerhatian saya, kebanyakan pelancong cenderung memilih untuk menaiki kenderaan sendiri bagi mengunjungi kawasan-kawasan tarikan.
Oleh yang demikian, kerajaan negeri perlu menarik minat orang ramai untuk menjadikan pengangakutan awam sebagai mod pengangkutan pilihan dengan menambah baik mutu perkhidmatan yang ditawarkan,” kata beliau ketika berucap pada Hari Pertama Istiadat Penganugerahan Darjah Kebesaran, Bintang dan Pingat Kehormatan Negeri Melaka sempena Sambutan Hari Jadi ke-73 2022 di Balai Istiadat Seri Negeri di sini hari ini.
Mohd Ali berkata jumlah laluan dan frekuensi laluan bas juga perlu ditingkatkan agar tempoh menunggu dan akses laluan lebih relevan, sesuai dengan kehendak pengguna.
Katanya, Panorama Melaka turut disaran meningkatkan bilangan bas serta mencari peluang memudahkan akses kepada perkhidmatan penggunaan teknologi yang diintegrasi dengan perancangan perjalanan serta pembayaran digital.
Menurut Mohd Ali, adaptasi pengangkutan mikromobiliti perlulah dijadikan satu daripada mod pengangkutan di Melaka sejajar dengan perubahan teknologi terkini dan pihak berkuasa tempatan perlu memudah cara penggunaan teknologi tersebut.
Beliau juga berkata kerajaan negeri diharap dapat menyegerakan pelaksanaan Projek Rintis Rangkaian 5G melibatkan 133 lokasi di negeri itu pada tahun ini dalam usaha merapatkan jurang digital.
“Saya menyambut baik peluang yang diberikan Kementerian Komunikasi dan Multimedia melalui Digital Nasional Berhad dalam melaksanakan usaha ini seterusnya meningkatkan kualiti rangkaian,” tambah beliau.
— Akses Malaysia