PUTRAJAYA, 13 Oktober 2026 – Kementerian Sains, Teknologi dan Inovasi (MOSTI) menerima peruntukan keseluruhan berjumlah RM1.29 bilion di bawah Belanjawan MADANI Kelima 2027 bagi memperkukuh ekosistem sains, teknologi dan inovasi (STI) negara, khususnya dalam sektor semikonduktor, kecerdasan buatan (AI) serta syarikat pemula teknologi.
Peruntukan berkenaan merekodkan peningkatan sebanyak 1.29 peratus berbanding RM1.28 bilion pada tahun 2026, merangkumi RM775.46 juta bagi Perbelanjaan Mengurus (OE) dan RM516.93 juta bagi Perbelanjaan Pembangunan (DE) bagi melaksanakan 61 projek di bawah Rolling Plan Kedua (RP2) Rancangan Malaysia Ke-13 (RMK13).
Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi, Datuk Chang Lih Kang, menegaskan bahawa fokus kementerian bukan sekadar mencipta teknologi baharu, sebaliknya memastikan hasil penyelidikan berjaya dikomersialkan serta merangsang pewujudan peluang pekerjaan bernilai tinggi.
“Melalui peruntukan RM1.29 bilion ini, kita mahu mempercepatkan peralihan Malaysia daripada pengguna kepada pencipta dan pemilik teknologi, di samping memastikan manfaat inovasi dapat dirasai oleh rakyat serta menyumbang kepada pertumbuhan ekonomi negara,” kata beliau.
Di bawah inisiatif pemerkasaan ekosistem pemula dan semikonduktor, Malaysian Technology Development Corporation (MTDC) menerima RM10 juta untuk pembiayaan ekuiti Program SemiconStart, Kumpulan Modal Perdana (KMP) diperuntukkan RM10 juta bagi projek rintis FORGE, manakala Cradle Fund Sdn Bhd menerima RM41 juta bagi Pelan Hala Tuju Ekosistem Startup Malaysia 2026–2030 (SUPER 2.0) dan RM2 juta untuk Program Bengkel Inovasi GLC (BIG).
Bagi teknologi strategik dan AI, Agensi Angkasa Malaysia (MYSA) menerima RM7.5 juta bagi pembangunan makmal AI angkasa dan Platform Analitik GeoAI Bersepadu, manakala RM4 juta disalurkan kepada NanoMalaysia Berhad untuk inisiatif CERAH MADANI serta RM2.5 juta kepada Bioeconomy Corporation bagi Platform Ekonomi Kitaran Jaring Perikanan Nasional.
Akses Malaysia menyediakan berita terkini di dalam Malaysia dan luar negeri termasuk maklumat tentang usaha-usaha kerajaan, korporat, institusi pengajian, kampus, isu-isu global, ekonomi, tren terkini, dan pelbagai lagi.


































