PUTRAJAYA, 17 Ogos 2026 – Kementerian Sains, Teknologi dan Inovasi (MOSTI) meluaskan penganjuran Program Advokasi Nuklear berteraskan konsep ‘Nuklear Untuk Rakyat’ bagi meningkatkan kefahaman fakta sains dan persepsi positif masyarakat, khususnya generasi muda terhadap penggunaan teknologi berkenaan.
Usaha yang dilaksanakan selaras dengan Dasar Teknologi Nuklear Negara 2030 itu turut merancang pendedahan dan advokasi ke peringkat sekolah rendah menerusi kerjasama dengan Kementerian Pendidikan Malaysia bagi menyemai minat murid terhadap bidang sains, teknologi, kejuruteraan dan matematik.
Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi, Datuk Chang Lih Kang, berkata kefahaman awam mengenai teknologi nuklear perlu diperkukuh berteraskan fakta dan aplikasi saintifik bagi membetulkan tanggapan negatif masyarakat yang sering mengaitkannya dengan kemusnahan.
“Apabila disebut nuklear, ramai yang terus terbayangkan risiko dan kemusnahan. Sedangkan teknologi nuklear mempunyai pelbagai manfaat dan digunakan dalam banyak bidang termasuk kesihatan, pertanian, industri, tenaga dan alam sekitar. Sebab itu kita mahu masyarakat, khususnya generasi muda, memahami teknologi nuklear berdasarkan fakta dan ilmu pengetahuan supaya persepsi yang kurang tepat dapat diperbetulkan,” kata beliau.
Sempena majlis perhimpunan bulanan kementerian, MOSTI turut menyerahkan kit advokasi nuklear kepada Bioeconomy Corporation selaku rakan strategik dengan kerjasama Agensi Nuklear Malaysia, Jabatan Tenaga Atom dan Pusat Sains Negara sebagai rakan pelaksana.
Kit pembelajaran interaktif berkenaan dilengkapi dengan pelbagai bahan mengajar seperti buku Pengembaraan Dunia Nuklear, kit model molekul, model reaktor tiga dimensi dan kad fakta interaktif. Selain itu, pelbagai aktiviti simulasi seperti bilik terlepas (escape room), permainan papan bandar pintar, demonstrasi kebuk awan dan pengalaman realiti maya turut disediakan bagi menarik minat pengunjung.
Setakat ini, program berkenaan telah dianjurkan di 12 lokasi di seluruh negara termasuk di Pulau Pinang, Terengganu, Sarawak, Lahad Datu dan Maktab Rendah Sains MARA Kuala Krai.
Akses Malaysia merupakan satu saluran pengetahuan dan informasi yang disediakan bagi membolehkan pembaca mendapatkankan info-info terkini dalam dan luar negara.
































