LANGKAWI, 10 Sept 2026 — Kementerian Sains, Teknologi dan Inovasi (MOSTI) memperkukuh keupayaan pemantauan sinaran di perairan negara menerusi pelaksanaan sistem Gamma Spectrum Water Monitoring Station (GSWMS) bagi mengesan perubahan luar biasa tahap sinaran secara masa nyata.
Dalam konteks keselamatan nuklear dan radioaktif, istilah “sinaran” merujuk kepada radiation, iaitu tenaga yang dipancarkan dan merambat dalam bentuk gelombang atau zarah, termasuk sinaran gama yang dipantau menerusi sistem berkenaan.
Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi Datuk Chang Lih Kang berkata keupayaan memperoleh data pemantauan secara berterusan penting bagi memastikan sebarang anomali sinaran dapat dikenal pasti lebih awal, sekali gus membolehkan tindakan susulan dilaksanakan dengan pantas.
“Dalam aspek keselamatan sinaran, keupayaan untuk mendapatkan data sendiri secara berterusan amat penting. Kita mahu Malaysia mempunyai sistem pemantauan yang kukuh dan keupayaan untuk mengesan sebarang anomali dengan cepat, khususnya melibatkan risiko sinaran yang boleh merentasi sempadan,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika mengadakan lawatan kerja ke stesen GSWMS di Langkawi bagi meninjau pelaksanaan operasi sistem amaran awal sinaran di perairan negara.
GSWMS merupakan sistem pemantauan masa nyata yang mampu mengesan dan mengukur tahap sinaran gama di perairan serta mengenal pasti isotop radioaktif secara berterusan.
Menurut MOSTI, sistem itu turut berperanan mengesan pencemaran radioaktif dan ancaman rentas sempadan, selain memastikan data pemantauan perairan negara tersedia secara berterusan 24 jam sehari tanpa bergantung kepada sumber luaran.
Stesen GSWMS Pulau Langkawi yang terletak di Jeti Jabatan Kastam Diraja Malaysia merupakan satu daripada empat stesen baharu yang dibangunkan bagi memperkukuh rangkaian pemantauan sinaran di perairan Malaysia dan kesiapsiagaan negara.
Tiga lagi stesen masing-masing terletak di Taman Laut Pulau Tioman, Pahang; Taman Laut Pulau Perhentian, Terengganu; dan Jeti Pelabuhan Bintulu, Sarawak.
Kos pemasangan keempat-empat unit GSWMS itu berjumlah RM2.65 juta.
MOSTI berkata pelaksanaan projek berkenaan merupakan hasil kerjasama strategik Jabatan Tenaga Atom dengan Jabatan Kastam Diraja Malaysia, Jabatan Perikanan Malaysia dan Pihak Berkuasa Pelabuhan Bintulu, Sarawak.
Kementerian itu turut menzahirkan penghargaan terhadap kerjasama antara agensi berkenaan dan berharap ia terus diperkukuh bagi meningkatkan keupayaan pemantauan serta kesiapsiagaan negara terhadap risiko sinaran.
Orang ramai boleh mendapatkan maklumat mengenai tahap sinaran di daratan dan perairan negara melalui laman sesawang Atom Malaysia di https://erms.atom.gov.my dan laman sesawang MOSTI.
Akses Malaysia merupakan satu saluran pengetahuan dan informasi yang disediakan bagi membolehkan pembaca mendapatkankan info-info terkini dalam dan luar negara.


































