KUALA LUMPUR, 8 Sept 2022 — Tiada rundingan rasmi antara PAS-UMNO bagi menghadapi Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15), kata Pengerusi Perikatan Nasional (PN) Tan Sri Muhyiddin Yassin.
Menurut beliau, perkara itu berdasarkan penjelasan PAS pada Mesyuarat Majlis Tertinggi PN yang dipengerusikan beliau malam semalam.
“Perbincangan adalah secara tidak rasmi dan tidak melibatkan pucuk pimpinan parti. Tiada apa-apa kemajuan dicapai daripada perbincangan ini setelah UMNO membuat pendirian untuk tidak bekerjasama dengan PAS dalam PRU15,” kata Muhyiddin dalam satu kenyataan di sini hari ini.
Muhyiddin yang juga Presiden Bersatu berkata PAS mengulangi pendirian untuk memperkukuh kerjasama dengan parti anggota dalam PN.
Beliau juga berkata mesyuarat itu juga membuat ketetapan memberi tumpuan usaha membela rakyat khususnya golongan berpendapatan rendah dalam menghadapi kesan inflasi dan keadaan ekonomi yang diunjur tidak bertambah baik.
Menurut beliau, mesyuarat mengambil maklum bahawa kumpulan B40 telah meningkat menjadi kumpulan B60 dan penyediaan bantuan bagi kumpulan pendapatan terkebawah ini mesti diberikan tumpuan oleh kerajaan.
Justeru, kata beliau, bagi membantu meringankan beban kumpulan ini, PN mengarahkan seluruh jentera parti di semua peringkat melaksanakan program Prihatin Rakyat di seluruh negara bagi menyalurkan bantuan kepada mereka yang memerlukan.
Majlis Tertinggi pada mesyuarat sama juga telah meluluskan pelantikan ketua-ketua kawasan bagi negeri Selangor, Negeri Sembilan, Johor dan Pahang.
— Akses Malaysia
Akses Malaysia merupakan satu saluran pengetahuan dan informasi yang disediakan bagi membolehkan pembaca mendapatkankan info-info terkini dalam dan luar negara.