PETALING JAYA, 4 Mei 2026 — Anugerah Seni Cameronian BOH ke-21 (21BCAA) melabuhkan tirainya di Petaling Jaya Performing Arts Centre (PJPAC) dengan mencipta kejutan apabila mengumumkan dua naskhah teater sebagai pemenang bersama bagi kategori utama iaitu Persembahan Terbaik.
Kemenangan bersejarah itu dikongsi oleh naskhah ‘Fragments of Tuah’ persembahan Five Arts Centre dan ‘Setanggi Tari Melayu 2025 – Quintessential Malay Dance’ oleh ASK Dance Company, menewaskan calon finalis hebat yang lain seperti ‘A Salute to Cinema’, ‘Animal Farm’, ‘TEWAS: No Light at the End of the Tunnel’ dan ‘Visits’.
Penyampaian hadiah bagi kategori utama tersebut telah disempurnakan oleh Presiden Kakiseni, Low Ngai Yu dan Pengerusi Eksekutif BOH Plantation, Caroline Russell.
Naskhah ‘Fragments of Tuah’ merupakan sebuah persembahan berkonsepkan dokumentari diiringi muzik asli yang membedah serta membayangkan semula figura Hang Tuah sebagai pahlawan abad ke-15.
Sementara itu, pementasan ‘Setanggi Tari Melayu 2025’ pula cemerlang menonjolkan semangat tari Melayu bagi memartabatkan kembali kedudukannya sebagai antara seni terbaik di dunia.
Acara anugerah berprestij itu turut mencuri tumpuan apabila pelakon terkenal, Nabila Huda berjaya melakar kejayaan peribadi dengan merangkul trofi sulungnya di pentas teater menerusi kategori Pelakon Pembantu Terbaik.
Kemenangan tersebut diraih hasil keberkesanannya membawakan watak Malam dalam naskhah teater ‘Masmoona’. Selain teater tersebut, beliau turut membintangi teater ‘Visits’ terbitan Dramalab arahan Ida Nerina bersama barisan pelakon hebat seperti Sofia Jane dan Nadia Aqilah.
Mengulas mengenai kemenangan pertamanya itu, Nabila meluahkan rasa terkejut dan mengakui dirinya masih kerdil dalam bidang seni persembahan pentas.
“Sejujurnya saya memang tidak sangka. Saya masih baru dalam dunia teater dan sangat menghormati mereka. Setiap kali bersama, saya kagum dengan bakat mereka. Saya selalu rasa diri ini kecil kerana kemampuan mereka menyanyi dan menari jauh lebih hebat. Bila lihat senarai pencalonan tadi, saya rasa persembahan saya sangat jauh ketinggalan,” kata beliau.
Bagi senarai pemenang lain, kategori Pelakon Utama Terbaik (Teater Muzikal) dimenangi oleh Ileana Matin yang membawakan watak Finn Dewey menerusi ‘School of Rock, The Musical’, manakala Pelakon Utama Terbaik (Teater) menjadi milik pelakon kelahiran Scotland, Kingsley Judd, menerusi wataknya sebagai Edward dalam ‘Someone Who’ll Watch Over Me’.
21BCAA turut memberi penghormatan tertinggi kepada Profesor Dr. Mohd Anis Md Nor yang menerima Anugerah Sepanjang Hayat BOH Cameronian sebagai pengiktirafan terhadap sumbangan berterusan beliau dalam memartabatkan tarian Zapin dan dunia seni persembahan Malaysia.
Edisi ke-21 yang bertemakan ‘COLLABeyond: Cipta Bersama Masa Depan’ ini mempertandingkan 40 kategori dengan 81 penyertaan yang dinilai oleh panel juri terkemuka merentasi disiplin persembahan, kreatif dan teknikal.
Secara keseluruhannya, sebanyak 44 produksi telah dicalonkan yang merangkumi bidang tarian, teater muzikal, muzik dan teater.
Anugerah yang berorientasikan masa depan ini dibawakan oleh BOH Plantations dan Kakiseni dengan sokongan pelbagai agensi termasuk Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya Malaysia (MOTAC), Jabatan Kebudayaan dan Kesenian Negara (JKKN) serta rakan kongsi strategik korporat yang lain.
Akses Malaysia merupakan satu saluran pengetahuan dan informasi yang disediakan bagi membolehkan pembaca mendapatkankan info-info terkini dalam dan luar negara.













































