SHAH ALAM, 31 Julai 2022 — Semua parti komponen Barisan Nasional (BN) perlu melakukan kajian sikap pengundi secara terperinci bagi mengetahui sejauh mana kekuatan gabungan politik tersebut dalam mendepani Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15).
Demikian menurut Naib Presiden UMNO Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob dalam ucapan pembukaan Konvensyen BN Selangor di sini hari ini.
Menurut beliau, langkah itu penting bagi memahami sentimen pengundi secara menyeluruh dalam misi mengembalikan kepercayaan pengundi kepada BN selain mengetahui kekuatan parti serta lawan berasaskan fakta dan bukan emosi.
“Sekarang orang dah mula banding kerajaan Pakatan Harapan (PH) dan menyatakan mereka tak meyakinkan untuk diberi peluang kali kedua dan saya juga percaya mereka tidak akan beri peluang kepada kerajaan Perikatan Nasional (PN). Saya yakin rakyat akan beri peluang kepada kita kalau mereka yakin kita boleh menjaga mereka,” katanya.
Beliau turut meminta semua ahli parti komponen BN agar menghentikan amalan ‘cah keting’ atau sabotaj jika tidak terpilih sebagai calon pada PRU akan datang serta memahami peranan masing-masing dalam memastikan kemenangan berpihak kepada gabungan politik itu.
Katanya, BN harus memastikan kesepakatan sesama ahli dalam parti komponen terus kukuh bagi memenangi hati rakyat sekali gus mewujudkan sebuah kerajaan yang stabil.
Beliau juga berkata adalah penting untuk semua ahli parti komponen BN menjadi ‘lidah’ kepada kerajaan dalam menyampaikan maklumat yang tepat kepada rakyat terutama segala inisiatif yang telah dilakukan untuk rakyat.
“Ahli parti komponen BN perlu bijak menjelaskan serta segera menepis sebarang dakwaan yang dibangkitkan oleh pembangkang terutama menerusi media sosial masing-masing bagi memastikan imej kerajaan dan gabungan politik itu tidak terpesong di mata masyarakat.
“PRU dah dekat. Dah tak lama. Kita kena buat kerja seolah-olah PRU adalah esok,” jelas beliau.
Beliau juga berkata adalah penting untuk BN Selangor mencari formula untuk merampas kembali negeri itu setelah tewas selama tiga penggal. Ismail Sabri pernah memegang jawatan Pengerusi BN Selangor pada 2018 hingga 2019.
“Tak cukup dengan Selangor, kita perlu kuasai sepenuhnya Kerajaan Persekutuan,” tambah beliau.
— Akses Malaysia