SHAH ALAM, 8 Ogos 2023 — Kolej Universiti Antarabangsa MAIWP (UCMI) hari ini catat sejarah tersendiri apabila program National Children’s Industry Chapter 2023 (NCIC 2023) yang berlangsung pada hujung minggu, 5 & 6 Ogos 2023, di Atrium & Blackbox, SACC Mall, Shah Alam, Selangor telah berlangsung dengan jayanya.
Program ini bertujuan untuk menghimpunkan pelbagai pemain industri berkaitan kanak-kanak bagi membantu pembangunan generasi Malaysia Madani selain mengangkat agenda industri kanak-kanak di Malaysia ke persada dunia dalam usaha membangun dan memperkukuhkan sektor industri kanak-kanak di Malaysia.
UCMI melalui Tuanku Lailatul Shahreen Centre of Children’s Industry & Livelihood turut mendapat kerjasama dan sokongan daripada PKNS Real Estate Sdn Bhd, Gaya Travel Magazine, Pertubuhan Media Negeri Selangor, Akses Malaysia, Faizuddin Centre of Educational Excellence (FcoEE) dan rakan-rakan strategik industri berkaitan kanak-kanak.
Program NCIC 2023 yang pertama kali diadakan ini telah berjaya menarik penyertaan daripada 20 industri berkaitan kanak-kanak, dengan jumlah kehadiran pengunjung melebihi 5,000 orang sepanjang dua hari penganjuran.
Yang Amat Mulia Sharifah Khatreena Nuraniah binti Tuanku Syed Faizuddin Putra Jamalullail turut hadir menyerikan lagi program ini, sekaligus menyempurnakan majlis perasmian program.
Sehubungan dengan itu, baginda telah berkenan menyampaikan 6 Anugerah Industri Kanak-kanak kepada tokoh-tokoh yang telah banyak memberikan sumbangan kepada industri kanak-kanak di Malaysia.
YAM Sharifah Khatreena Nuraniah turut menzahirkan kegembiraan dengan sambutan yang meriah dan mengharapkan agar program seperti NCIC 2023 dapat diteruskan sebagai program tahunan.
Baginda juga menekankan bahawa program ini akan memberikan manfaat serta impak besar kepada komuniti setempat dan turut menjadi pemangkin kepada pembangunan potensi kanak-kanak di Malaysia.
Naib Canselor UCMI, Prof Dr. Wan Mohd Azizi Wan Sulaiman dipetik dari ucapan penutup pada hari terakhir program berkata kerjasama antara UCMI dan pemain-pemain industri berkaitan kanak-kanak diharapkan dapat memberikan impak yang besar kepada komuniti tempatan dan pembangunan generasi masa depan negara, selaras dengan konsep negara Malaysia Madani.
Penyelaras program NCIC 2023, En Mohd Shawani Ahmad Sabri berkata tema program “Unleashing Creativity, Shaping for Tomorrow” membawa agenda global yang menghimpunkan pelbagai pemain dalam industri kanak-kanak.
Program ini merupakan langkah pertama dalam membawa industri kanak-kanak Malaysia ke tahap yang lebih tinggi, serta mengangkat nilai-nilai budaya serta aspirasi Malaysia untuk diperkenalkan di peringkat antarabangsa.
